Covid-19: TNB sumbang RM10 juta kepada KKM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memulakan kerjasama untuk menggalakkan syarikat korporat di Malaysia berganding bahu dengan kerajaan dan memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menurut KKM dan TNB dalam satu kenyataan bersama semalam, inisiatif ‘Corporate Malaysia Against Covid-19 Action Coalition’ itu menggesa syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi lain untuk memberikan sokongan kewangan kepada KKM bagi membantu menambah bekalan perubatan yang semakin berkurangan ketika negara bergelut untuk membendung Covid-19.

Sebagai perbadanan yang menerajui usaha ini, TNB berjanji memberi bantuan berjumlah RM10 juta kepada KKM baru-baru.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, pertambahan bilangan pesakit yang dijangkiti virus Covid-19 di Malaysia memberi tekanan kepada sumber hospital kerajaan yang dikhaskan bagi merawat penyakit itu.

“Bantuan kewangan daripada TNB membolehkan KKM mendapatkan peralatan penjagaan kesihatan dan perubatan segera diperlukan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 yang sedang menular sekarang.

“Kita berharap GLC dan perbadanan lain di Malaysia akan menyertai usaha kerjasama ini bagi membantu kami berdepan pandemik ini dengan lebih baik lagi,” katanya.

Pada Khamis, sebanyak 110 lagi kes baharu Covid-19 dilaporkan di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 900 kes.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini adalah perjuangan yang kita semua terlibat di dalamnya.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai ketua syarikat korporat yang kejayaannya terbina di atas kudrat tenaga berjuta-juta rakyat Malaysia, kita kini perlu berganding bahu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

“Kerjasama antara sektor awam dan swasta kini amat diperlukan. Saya ingin menyeru rakan-rakan saya dalam sektor korporat Malaysia untuk berganding bahu bersama kami dalam tempoh sukar ketika ini dan menyediakan sokongan kritikal kepada pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan kita,” kata Amir Hamzah.

Perbadanan dan organisasi yang berminat untuk memberikan sokongan boleh menghubungi KKM di talian (03)8883-3069/3076/2406. - Bernama