Kes tumbuk cikgu: Ibu pelajar menangis, rayu jangan kecam anak
KAJANG – Ibu kepada pelajar yang didakwa menumbuk guru pada Julai lalu, merayu supaya semua pihak memberi peluang kepada anaknya untuk berubah.
Selepas sebutan kes berkenaan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, wanita berusia 40-an itu merayu sambil menangis supaya orang ramai tidak membuat kecaman terutama di media sosial.

“Saya tahu tindakan anak saya itu salah, tetapi berilah kesempatan kepadanya untuk berubah.
“Tolonglah jangan buat naratif sebab dia masih muda, malah kecaman itu menyebabkan saya semakin tertekan,” katanya dalam nada sebak.
Dia yang juga ibu tunggal berkata, kes berkenaan turut menyebabkan kesihatannya semakin merosot.
Pada Khamis, pelajar berusia 14 tahun yang tular dalam satu video menumbuk gurunya, menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Tamil.

Pelajar peralihan Tingkatan Satu itu membuat pengakuan tersebut dalam prosiding yang ditetapkan untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.
Pada 30 Julai lalu, pelajar lelaki itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang guru lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 September sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah pada jam 4.48 petang, pada 28 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 38 saat di media sosial yang memaparkan pertengkaran antara dua individu lelaki sebelum berakhir dengan seorang pelajar menumbuk pipi seorang guru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

