[VIDEO] Pelajar tumbuk cikgu tukar pengakuan tidak bersalah, mohon masa berfikir
KAJANG – Seorang pelajar berusia 14 tahun yang tular dalam satu video menumbuk gurunya, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Pelajar peralihan Tingkatan Satu itu membuat pengakuan tersebut dalam prosiding yang dijadualkan untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Pertuduhan terhadap tertuduh juvana itu kemudiannya dibacakan semula dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret, Fatin Dayana Jalil.
Prosiding dijalankan secara tertutup memandangkan tertuduh merupakan remaja bawah umur.
Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, S Priyalatha yang mewakili pelajar itu memaklumkan, remaja yang juga anak tunggal itu masih belum bersedia untuk mengaku bersalah.
Menurutnya, dia mohon diberikan masa untuk berfikir bagi mempertimbangkan kes yang sedang dihadapi.
“Langkah seterusnya sama ada menghantar representasi atau mengambil tindakan lain, hanya akan dilakukan selepas pihak pembelaan menerima dokumen penting daripada pendakwaan.

“Sehubungan itu, mahkamah menangguhkan prosiding ke 9 Oktober depan,” katanya.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri.
Pada 30 Julai lalu, pelajar lelaki itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang guru lelaki berusia 29 tahun dalam kejadian di sebuah sekolah menengah, jam 4.48 petang pada 28 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 38 saat di media sosial yang memaparkan pertengkaran antara dua individu lelaki sebelum berakhir dengan seorang pelajar menumbuk pipi seorang guru.
Ringkasan AI
- Pelajar berusia 14 tahun yang tular menumbuk gurunya menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang
- Pengakuan dibuat semasa prosiding untuk mendapatkan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil
- Prosiding dijalankan secara tertutup kerana tertuduh merupakan remaja bawah umur
- Pelajar itu mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap guru pada 30 Julai lalu, dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

