Pasangan kekasih antara didakwa rompak berkumpulan, miliki harta samun

SEREMBAN - Tiga individu termasuk sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan memiliki harta samun iaitu jongkong emas, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Redzuan Muhammad Khairul Anuar, 25, dan G Thanthiran, 25, berdepan pertuduhan bersama di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, manakala T S Pretty, 26, berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan. Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan terhadap Muhammad Redzuan dan Thanthiran, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita dengan merampas dua pasang subang emas, seutas rantai leher emas, dua jongkong emas dan satu gelang tangan yang merupakan harta dalam kawalan mangsa.
Ketika kejadian, mereka turut menggunakan sebilah parang dan pisau sebagai senjata semasa melakukan samun tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 3 Ogos 2025, kira-kira jam 3 pagi di kawasan Kota Seriemas, Nilai.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pretty pula telah didakwa memiliki harta samun iaitu jongkong emas anggaran berat enam gram yang bernilai RM3,100 yang mana dia ada sebab mempercayai itu merupakan harta yang disamun.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 27 Ogos 2025, kira-kira jam 2 petang, di tepi jalan berhadapan Kedai Pajak Sin Loong Sdn Bhd, Sentul, Kuala Lumpur.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan masing-masing mempunyai tanggungan, di mana Muhammad Redzuan bekerja sebagai buruh, Thanthiran sebagai kelindan lori, manakala Pretty bekerja di sebuah kilang sebelum ditahan.
Pretty diwakili peguam P Vitiya Monisha, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Azrin Zainuddin dan Nur Nadiahani Ideris.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

