Polis tahan tujuh suspek rompak berkumpulan guna senjata

Polis Nilai menahan tujuh individu termasuk dua wanita terlibat dalam rompakan bersenjata dan pecah rumah dengan kerugian RM70,000.
Polis Nilai menahan tujuh individu termasuk dua wanita terlibat dalam rompakan bersenjata dan pecah rumah dengan kerugian RM70,000.
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan yang disyaki terlibat kes rompakan berkumpulan menggunakan senjata dan pecah rumah dekat sini membabitkan kerugian berjumlah RM70,000 sekitar Jun dan Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kesemua individu berusia lingkungan 30-an itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan dalam operasi kira-kira dua jam di Bukit Pelandok, Port Dickson dan Ampang, Selangor pada 26 Ogos lepas.

"Semakan rekod mendapati kesemua suspek lelaki mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Modus operandi mereka adalah memecah masuk rumah melalui tingkap dengan mengumpil, sebelum menyerang mangsa menggunakan parang dan merompak barangan berharga seperti barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 412, Seksyen 414 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Malik berkata, pihaknya menahan empat lelaki tempatan berusia 20-an hingga 40-an dipercayai memecah masuk rumah telekomunikasi di kawasan Tangki Air Syarikat Air Negeri Sembilan pada 24 Ogos lepas.

Semakan rekod mendapati kesemua suspek yang ditahan di kawasan perumahan Kota Warisan, Sepang, Selangor pada tarikh sama mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, selain mengaku terlibat dalam lima kes pecah masuk rumah pencawang telekomunikasi sekitar Nilai sejak bulan lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!