Lima sekeluarga penagih dadah, berhimpit dalam rumah dihuni 20 orang

KOTA BHARU – Lima sekeluarga iaitu empat beradik dan seorang ipar lelaki dikesan terbabit dalam gejala penagihan dadah jenis pil kuda dan tinggal bersama seramai 20 ahli keluarga yang lain termasuk bayi berusia dua minggu di Kampung Hutan Pasir di sini.
Mereka adalah anak kedua, tiga, lima dan enam daripada 12 beradik berusia antara 30 hingga 40 tahun bersama seorang ipar lelaki berusia 33 tahun.
Kesemua mereka dipercayai terbabit menagih dadah jenis pil kuda sejak lima tahun lalu dan mengambilnya hampir setiap hari.
Ipar berkenaan memberitahu, mereka terjebak dengan gejala penagihan dadah atas dasar suka-suka kerana mendakwa bekalan mudah diperoleh daripada pembekal yang ramai selain harganya pula murah serendah RM5 sebiji.

“Ada tiga keluarga tinggal serumah termasuk ibu bapa mentua saya tetapi untuk ambil dadah, kami masing-masing buat di tempat lain.
“Biasanya ambil dua hingga tiga biji sehari guna duit kami kerja sebagai buruh binaan,” katanya ketika ditemui selepas ditahan dalam Op Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri Kelantan di Pejabat AADK Kelantan di sini pada awal pagi Rabu.
Operasi berkenaan tertumpu di daerah Bachok, Pasir Mas, Kuala Krai dan beberapa kawasan di Kota Bharu yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.
Hasil operasi menahan seramai 157 individu positif dadah termasuk 152 mengambil dadah jenis pil kuda.
Kata ipar itu lagi, dia sendiri mempunyai anak yang baru berusia dua bulan.
Dalam pada itu, adik-beradik anak kedua terbabit mengaku sudah empat kali ditahan termasuk serbuan di rumah berkenaan namun tetap ulang semula tabiat sama manakala yang lain ditahan pertama kali.
Menurutnya, jumlah penagih dalam rumah itu seramai lima orang, manakala selebihnya ialah ahli keluarga yang tidak terbabit tetapi tetap terpaksa menanggung suasana rumah sesak serta tekanan sosial akibat penagihan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, keadaan penagihan membabitkan adik-beradik atau keluarga serumah sangat menyedihkan.
“Peranan keluarga terutama ibu bapa sangat penting untuk mencegah gejala penagihan dadah.
“Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa dan operasi pemantauan akan diteruskan bagi mengekang aktiviti penagihan dadah dalam komuniti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

