Kes Covid-19 Thailand keseluruhan meningkat kepada 322

Seorang anggota tentera memakai pakaian saringan pelindung disinfektan sepanjang Jalan Silom sebagai langkah menentang wabak Covid-19, di Bangkok, Thailand. Foto: Xinhua
Seorang anggota tentera memakai pakaian saringan pelindung disinfektan sepanjang Jalan Silom sebagai langkah menentang wabak Covid-19, di Bangkok, Thailand. Foto: Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Thailand mengesahkan 50 lagi kes Covid-19, termasuk dua warganegara Myanmar dan seorang bayi berusia enam bulan, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 322 kes.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Suwannachai Wattanayingcharoen berkata, 41 kes baharu adalah berkaitan dengan pesakit yang dijangkiti, termasuk 18 yang berada di stadium Muay Thai yang penuh sesak, enam menghadiri program keagamaan di sebuah masjid di Malaysia dan lima yang pergi ke pusat hiburan.

Selain itu beliau berkata, 12 kes baharu termasuk seorang bayi dan seorang anggota polis yang merupakan kontak rapat pesakit.

“Satu kumpulan lain merupakan mereka yang pulang dari luar negara dan mereka yang merupakan kontak rapat orang warga asing, termasuk dua warga Myanmar. Tiga kes masih di bawah siasatan untuk mengesan punca jangkitan.

“Kes Covid-19 telah dilaporkan di 24 wilayah dan majoriti kes adalah di Bangkok,” katanya dalam sidang media Covid-19 di sini hari ini.

Sehingga kini Thailand melaporkan 322 kes Covid-19 dengan satu kematian. 43 pesakit telah dibenarkan pulang, manakala 278 masih dirawat di hospital.

Suwannachai menggesa mereka yang menyaksikan perlawanan Muay Thai untuk menjalani kuarantin kendiri bagi mengelakkan penularan virus itu.

Beliau menasihatkan orang tua, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah sistem pernafasan untuk duduk di rumah, dan mengelakkan kawasan yang sesak, bagi mengurangkan risiko berjangkit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam Thaweeslip Wissanuythin berkata, pihak berkuasa hanya berjaya mengesan 55 orang yang menghadiri perlawanan Muay Thai tersebut berbanding 500 penonton yang berada di dalam stadium.

“Saya berharap, mereka ini akan melakukan kuarantin kendiri dan tidak menyebarkan virus tersebut,” katanya. - Bernama