Perabot antik berusia 100 tahun dibawa dari China musnah

Keadaan salah sebuah rumah kedai yang terbakar.
Keadaan salah sebuah rumah kedai yang terbakar.
A
A
A

KUANTAN – Hasrat Persatuan Kwang Siew Kuantan untuk terus menjaga warisan lebih 100 tahun lebur apabila perabot antik dari China musnah dalam kebakaran membabitkan tiga kedai dua tingkat di Jalan Mahkota di sini pada malam Selasa.

Antara khazanah berharga yang tidak sempat diselamatkan ialah empat kerusi dan tiga meja kayu berusia lebih seabad.

Pengerusinya, CHeong Lai Chee, 65, berkata, perabot itu mempunyai nilai sentimental kerana reka bentuknya klasik dan berbeza daripada kerusi biasa.

“Kerusi itu nampak seperti kerusi biasa, tetapi rekaannya antik dan usianya lebih 100 tahun di bawa dari China.

“Kami sudah lama menyimpannya, jadi ia antara barang peninggalan yang berharga dalam bangunan tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian kebakaran itu di Jalan Mahkota di sini pada Rabu.

Pasukan bomba sedang melakukan kerja- kerja Forensik kebakaran di rumah kedai dua tingkat yang terlibat di Jalan Mahkota pada Rabu. Foto: Sinar Harian
Pasukan bomba sedang melakukan kerja- kerja Forensik kebakaran di rumah kedai dua tingkat yang terlibat di Jalan Mahkota pada Rabu. Foto: Sinar Harian

Lai Chee memberitahu, selain perabot, kebakaran tersebut turut memusnahkan dokumen bersejarah termasuk buku, majalah, gambar lama dan rekod perjalanan persatuan yang sudah wujud sejak 100 tahun lalu.

Ujarnya, sewaktu kejadian tiada sesiapa berada di pejabat kerana ia berlaku di luar waktu operasi.

Artikel Berkaitan:

“Nilai kerugian saya tidak dapat ditentukan, tapi kami kena semak semula dengan akauntan untuk tengok aset yang terlibat,” jelasnya.

No Image Caption

Dia menambah, persatuan yang kini mempunyai lebih 1,300 ahli itu sepatutnya menganjurkan Pesta Tanglung bulan depan, namun majlis tersebut berkemungkinan dibatalkan.

“Biasanya kami buat jamuan makan dan himpunkan ahli, tapi kali ini mungkin tak dapat diteruskan kerana keadaan bangunan sudah terjejas,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Syukri Mazlan, 33, yang menjalankan perniagaan kasut terpakai mengakui dia mendengar bunyi seperti runtuhan sewaktu sedang menunaikan solat isyak di kedainya.

“Pada mulanya saya sangka orang buat kerja-kerja di sebelah, tapi lepas jiran datang beritahu ada kebakaran saya terus berlari keluar.

“Saya cuba selamatkan mana yang sempat dan api masa itu cepat sangat merebak dari atas siling kayu dari belakang kedai,” katanya.

Ceritanya lagi, hanya sebahagian kasut dapat dikeluarkan manakala selebihnya rosak akibat kebakaran tersebut.

Namun, dia bersyukur kerana orang ramai termasuk peniaga berhampiran membantu mengeluarkan barangan dan memberi ruang stor untuk simpan sementara.

No Image Caption

“Ramai yang datang tolong, ada yang angkat rak kasut, bantu bungkus dan bawa ke tempat selamat. Saya memang sangat terharu.

“Saya masih menunggu siasatan bomba selesai sebelum dapat menilai keadaan sebenar kerugian yang dialami,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga rumah kedai di Jalan Mahkota di sini terbakar pada Selasa.

Dalam kebakaran yang dilaporkan jam 8.45 malam itu, sebuah kedai hampir musnah sepenuhnya dan ia tidak melibatkan sebarang mangsa.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sebuah kedai rosak 50 peratus manakala sebuah lagi hanya mengalami kerosakan 10 peratus melibatkan bahagian bumbung.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!