Warga UPTM berkampung dua hari di Tanjung Karang, Sungai Besar

SHAH ALAM – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan warisan budaya melalui penganjuran University Social Responsibility (USR) UPTM: EcoHeritage – Where Culture Meets Nature pada 6 hingga 7 September lalu di Tanjung Karang dan Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.
Program yang menghimpunkan lebih 55 peserta ini melibatkan alumni, pelajar antarabangsa, mahasiswa tempatan, pensyarah dan masyarakat setempat.
Ia menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti luar bandar, di samping memberi peluang pembelajaran pengalaman kepada pelajar.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan seperti penanaman pokok bakau, menggagau ikan di sawah, bermain layang-layang, mandi paloh serta malam kebudayaan melibatkan pertukaran budaya antarabangsa yang turut menampilkan tarian Kuda Kepang serta aktiviti mencanting batik.

Peserta turut berpeluang meninjau keunikan perusahaan tradisional tempatan seperti kilang bahulu, kerepek, nata de coco, beras dan coklat.
Bagi pelajar tempatan, Julia Afifah Azhan (Bachelor of Early Childhood Education) program ini menjadi platform untuk memahami keunikan budaya warisan dan potensi ekonomi desa.
“Saya belajar bukan sahaja tentang alam sekitar, tetapi juga bagaimana komuniti luar bandar membangunkan ekonomi melalui perusahaan kecil.
“Ia membuka mata saya tentang pentingnya menghargai budaya dan alam kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ilham Hidayat Siregar (Bachelor Information Technology (Honours) In Computer Application Development) melihat program ini sebagai pengalaman luar biasa.
“Kami bukan sekadar pelajar di Malaysia, tetapi sebahagian daripada komuniti. Program ini membuatkan kami merasai sendiri kehidupan desa, memahami nilai budaya, dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.
“Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” ujarnya yang berasal dari Indonesia.
Alumni UPTM, Yasit Abd Razak pula menyifatkan penganjuran ini wajar diteruskan pada masa hadapan.
“Sebagai bekas pelajar, saya gembira melihat UPTM memberi peluang kepada generasi baharu untuk merasai sendiri pengalaman ini.
“Saya berharap program ini dijadikan tradisi tahunan kerana ia menyuburkan nilai kepimpinan, empati dan kesukarelawanan,” katanya.

Pengarah projek, Zalina Zalwadi dalam ucapannya, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
“Harapan kami agar EcoHeritage tidak sekadar menjadi program berkala tetapi berkembang menjadi satu gerakan berterusan yang menggabungkan pendidikan, kelestarian dan pemerkasaan komuniti.
“Kami mahu mahasiswa membawa pulang bukan sahaja ilmu akademik, tetapi juga pengalaman hidup yang membentuk sahsiah dan kesedaran sivik,” tegasnya.
Bekerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan WPKL, Rakan Bumi: Friends of Lestari Alam Siri 2, serta sokongan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, penganjuran kali ini menyerlahkan kesungguhan semua pihak dalam memastikan agenda kelestarian dan pemeliharaan budaya terus diperkasa.
UPTM percaya, melalui program berimpak sosial seperti ini, mahasiswa dapat dibentuk bukan sahaja sebagai ilmuwan tetapi juga sebagai pemimpin masyarakat masa depan yang mempunyai kepekaan terhadap cabaran global dan setempat.
TAMAT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
