Penjaja warga asing digempur, dua kenderaan disita termasuk pacuan empat roda

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi Jabatan Penguatkuasaan MBSJ meneruskan tindakan tegas terhadap penjaja warga asing berikutan aduan awam di sekitar kawasan USJ 4, Subang Jaya baru-baru ini.
Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Operasi (BO) bersama Bahagian Tunda (BT) di Tepi Jalan USJ 4/1 dan USJ 4/5, pihak penguat kuasa mengeluarkan dua notis sitaan inventori.
Selain itu, dua kenderaan jenis pacuan empat roda (4x4) dan lori pikap yang digunakan penjaja turut ditunda ke Depoh Tunda Taman Perindustrian UEP.
Menurut kenyataan, tindakan itu dilaksanakan serta-merta manakala amaran lisan turut diberikan kepada mereka yang terbabit agar tidak meneruskan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.
“MBSJ akan terus melakukan pemantauan berkala di seluruh kawasan komersial di bawah pentadbiran majlis bagi memastikan peraturan dipatuhi,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang boleh berbuat demikian melalui laman web rasmi MBSJ di www.mbsj.gov.my/ms/saluran-aduan atau menghubungi Pusat Kawalan Subang Jaya di talian 03-80247700.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

