Rusuhan Nepal: Isteri bekas PM terbakar hidup-hidup, rumah dibakar perusuh

Asap kelihatan dari kebakaran di kediaman bekas Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli, di Kathmandu, 9 September 2025. AFP
Asap kelihatan dari kebakaran di kediaman bekas Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli, di Kathmandu, 9 September 2025. AFP
A
A
A

KATHMANDU – Isteri bekas Perdana Menteri Nepal, Jhala Nath Khanal, meninggal dunia pada Selasa, selepas terbakar hidup-hidup apabila rumahnya diserang dan dibakar semasa protes ganas menentang kerajaan, lapor media antarabangsa.

Dalam huru-hara itu, bangunan Parlimen Nepal serta kediaman pemimpin politik lain turut dibakar, menjadikan negara Himalaya itu berdepan krisis besar.

Protes yang diketuai golongan Gen Z bermula pada Isnin, tercetus susulan larangan kerajaan terhadap platform media sosial utama, selain kebencian lama terhadap rasuah politik dan kekurangan peluang bagi belia.

Kerajaan membatalkan larangan media sosial itu pada Selasa, manakala Perdana Menteri K.P. Sharma Oli dan beberapa pegawai kanan lain meletak jawatan.

Bagaimanapun, demonstrasi dilaporkan berterusan memasuki hari ketiga. Sehingga kini, sekurang-kurangnya 22 orang dilaporkan maut dan ratusan cedera akibat kekecohan tersebut.

Beribu-ribu penunjuk perasaan terus mengabaikan perintah berkurung walaupun tentera menyeru ketenangan dan rundingan.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Türk, menegaskan bahawa keganasan bukan penyelesaian dan menggesa pihak keselamatan Nepal mengekang tindakan keras.

“Saya terkejut dengan peningkatan keganasan di Nepal yang telah mengorbankan ramai penunjuk perasaan muda. Laporan mengenai penggunaan kekerasan yang tidak seimbang oleh pihak berkuasa perlu disiasat dengan segera. Dialog – bukan keganasan – adalah jalan ke hadapan,” katanya melalui X.

Seorang penunjuk perasaan Gen Z, Pabit Tandukar, 22 tahun, yang cedera selepas berdepan polis bersenjata di luar bangunan Parlimen Kathmandu berkata, mereka mahukan “peletakan jawatan besar-besaran” sebagai respons terhadap krisis ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami hadir untuk protes aman. Pada mulanya mereka menembak gas pemedih mata kepada kami, dan kami menolak. Tiba-tiba saya ditembak,” katanya kepada Al Jazeera. Tandukar dan penunjuk perasaan lain segera dibawa ke hospital tempatan.

Menteri Dalam Negeri Ramesh Lekhak juga telah meletak jawatan, menyusuli peletakan jawatan Perdana Menteri KP Sharma Oli, sementara demonstrasi masih belum menunjukkan tanda-tanda reda.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!