Pas parti yang dikatakan ‘tepu’

TERPANGGIL untuk menjawab pandangan yang menyatakan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mungkin menjadi sebuah parti yang ‘tepu’.
Kononnya Pas berada dalam keadaan ‘tepu’, kehilangan idea segar dan strategi politik baharu hanya kerana pucuk pimpinan Pas tidak pernah berubah untuk tempoh yang lama. Keadaan ini dikatakan akan menyebabkan golongan muda dan kelompok atas pagar tidak cenderung untuk menyokong Pas, malah menjauhkan diri daripada Pas.
Penulis hormati pandangan ini; mungkin atas faktor pembacaan yang luas, kajiannya yang mendalam, dan pandangannya yang jauh. Namun perlu diakui bahawa (i) dinamika organisasi Pas adalah lebih luas, (ii) perkembangan pengaruh Pas adalah lebih mendalam, dan (iii) ufuk (horizon) perjalanan Pas adalah lebih jauh.
Izinkan penulis huraikan tiga dimensi tersebut.
(i) Dinamika organisasi Pas bersifat ‘organik’
Keahlian Pas sentiasa bertambah melebihi 1 juta ahli aktif dengan rangkaian kawasan dan cawangan di seluruh negara, dari Perlis hingga ke Sabah. Aktiviti Pas sentiasa bercambah, digerakkan jentera di setiap peringkat, dalam lapangan kebajikan, tarbiah, dakwah, dan siasah.
Setiap hari kami santuni ribuan pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) termasuk segmen ibu bapa (kohort umur 20-an, 30-an dan 40-an) yang telah melahirkan alumni Pasti melebihi angka 1 juta (termasuk penulis); diusahakan dengan dana sendiri tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.
Dalam hal ini, sepatutnya kerajaan berterima kasih kepada Pasti kerana telah meringankan beban ‘fiskal’ di pihak kerajaan untuk menyediakan pendidikan prasekolah yang berkualiti kepada masyarakat di samping pencapaian Pasti yang terbukti cemerlang dari aspek akademik, sahsiah, rohani, dan jasmani.
Malah setiap minggu Pas santuni pelbagai golongan dan lapisan masyarakat, melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan (sukan, gotong-royong, ziarah), merentasi kelompok kaum dan segmen umur; tanpa perlu berpolitik.
Di sini terserlah luasnya dinamika organisasi Pas yang digerakkan oleh pimpinan dan ahli di setiap peringkat dengan garapan idea segar dan pendekatan baharu bagi melebarkan pengaruh Pas di dalam masyarakat tanpa lelah dan jemu.
(ii) Perkembangan pengaruh Pas bersifat eksponen (exponential)
Jika boleh diumpamakan, Pas seperti pokok yang menghijau dan tinggi menjulang. Akarnya menjalar kukuh, dahannya melebar luas, teguh menjadi tempat berteduh.
Pucuk pimpinan kekal di atas, namun ‘pertumbuhan’ di setiap peringkat tidak pernah terbantut. Malah daripada dahan yang ‘dicantas’ pada Muktamar Pas 2015 (genap 10 tahun) kini tumbuh dahan baharu dan ranting yang lebih mekar.
Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, pengaruh Pas kian melebar dari kampung hingga ke bandar dari universiti hingga ke pejabat. Dahulunya dituduh kolot, jumud, dan ekstrem, kini semakin diterima keberadaan dan kemajmukan Pas; walaupun tidak dinafikan masih ada segelintir yang sangsi akibat ‘ketakutan yang disebarkan’ (fear mongering) oleh pihak tertentu DAP khususnya.
(iii) Ufuk (horizon) perjalanan Pas amatlah jauh
Agenda pembinaan pelapis dan pengupayaan bakat di dalam Pas sentiasa berjalan di setiap peringkat. Tiada yang gelojoh apatah lagi kemaruk untuk mengejar jawatan, kerana mengerti bahawa jawatan itu suatu taklifan.
Sejak PRU yang pertama, Pas ialah parti politik yang paling berpengalaman menyertai proses pilihan raya mengikut lunas demokrasi berparlimen.
Walhasil, Pas pernah menjadi pembangkang dan kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.
Jika menang, Pas berbakti. Jika kalah, langkah Pas tidak pernah terhenti.
Cukuplah untuk ditekuni bait-bait yang terkandung di dalam lagu rasmi Pas bagi menyingkap perihal ini;
Bergeraklah ke gerbang jasa,
Kalah menang bukan alasannya;
Sucikanlah niat di hati,
Hingga nyata benarnya janji Rabbi.
Sebagai penutup, izinkan penulis berkongsi ‘Teori Kitaran’ yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun.
Walaupun teori ini secara asasnya merujuk kepada perkembangan tamadun manusia, namun masih boleh diaplikasikan dalam konteks sebuah organisasi yang menghimpunkan manusia.
Dalam karya agungnya, Muqaddimah, Ibnu Khaldun memperkenalkan Teori Kitaran bagi merungkai proses ‘Kemunculan, Kekuasaan & Kejatuhan’ bagi sesebuah tamadun.
Ibnu Khaldun menjelaskan bahawa setiap tamadun atau empayar kerajaan mempunyai kitaran kuasa sama seperti kitaran hidup seorang manusia; bermula di tahap Kemunculan dan Perkembangan (bayi & remaja) sebelum memasuki tempoh Kekuasaan dan Kegemilangan (dewasa) seterusnya disusuli fasa Kemerosotan (tua/nyanyuk), dan berakhir dengan fasa Kejatuhan (kematian).
Sengaja penulis membawa iktibar daripada Teori Kitaran Ibnu Khaldun ini sebagai pedoman kepada kita semua supaya Malaysia sebagai sebuah negara dan mana-mana parti atau kerajaan yang bersilih-ganti mentadbirnya sentiasa berlaku adil dan menjauhi kezaliman apatah lagi penindasan.
“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran)” (Surah Ali-Imran, ayat 140)
Berbalik kepada pandangan yang menyatakan Pas mungkin menjadi sebuah parti yang ‘tepu’ senario ini boleh dihurai dalam konteks Teori Kitaran Ibnu Khaldun.
Dalam pelbagai aspek, penulis tidak pasti akan untung nasib parti politik tertua di Malaysia iaitu UMNO dan Barisan Nasional. Penulis juga tidak pasti akan jatuh bangun Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) – samada di tahap Kemunculan, Kekuasaan atau Kejatuhan.
Terserah kepada rakyat untuk menilainya.
Namun penulis berpandangan, Pas masih berada di tahap Kemunculan dan Perkembangan, fasa terpenting sebelum memasuki tempoh Kekuasaan dan Kegemilangan, jika diizinkan-Nya.
Justeru pandangan yang menyatakan Pas akan menjadi ‘tepu’ di tahap ‘permulaan’ ini amatlah tersasar sekali.
Namun Pas terbuka untuk ditegur, dikritik dan dimuhasabah kerana itulah tujuan hakiki penubuhan Pas iaitu bagi melaksanakan kerja-kerja menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Suatu tugasan yang tidak akan pernah ‘tepu’ tanpa mengenal erti lelah dan jemu.
Akhir kalam, kepada sekalian ahli dan pimpinan Pas selamat bermuktamar diucapkan.
Penganjuran Muktamar Tahunan 2025 ini adalah amat bermakna, diadakan buat kali ke-71 dan bakal berlangsung pada 15 dan 16 September di Kedah Darul Aman; bersempena sambutan Hari Malaysia ke-62.
Jika pada Muktamar Tahunan 2024 Presiden PAS mengemukakan Ucapan Dasar bertemakan “Islam Adalah Penyelesaian” pastinya Ucapan Dasar tahun ini adalah lebih signifikan bagi menentukan sikap, pendirian dan hala tuju Pas ke tahap yang lebih tinggi.
Selamat bermuktamar dengan tenang, insya-ALLAH.
*Syahir Sulaiman ialah Ahli Parlimen Bachok dan Setiausaha Politik Presiden Pas (yang telah menarik diri daripada bertanding pada Muktamar tahun ini)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
