Bekas akauntan GISBH dituduh kes pengubahan wang haram RM3.89 juta

SHAH ALAM - Bekas akauntan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM3.89 juta.
Hamimah Yakub, 73, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut lima pertuduhan, wanita ini dituduh menerima hasil aktiviti wang haram berjumlah RM3,618,527.86 antaranya dari akaun bank peribadi dan milik masing-masing satu pasar raya dan syarikat.
Sementara empat lagi, dia didakwa memindahkan sebanyak RM271,863.62 hasil aktiviti haram membabitkan empat transaksi antaranya ke akaun milik GISB Mart Sdn Bhd, akaun peribadi dan akaun bank milik GISBH.
Semua perbuatan didakwa dilakukan di cawangan bank di Kulim, Kedah dan Bandar Baru Bangi antara 5 Januari 2020 hingga 29 Januari 2021.
Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum bawah Subseksyen (4)1 akta sama.
Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Mohd Marzuki, mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM1 juta bagi semua pertuduhan.
"Kami mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman sekali setiap bulan," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Affendi dan P Sangari.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili tertuduh, merayu mahkamah mengguna pakai jaminan sebanyak RM40,000 yang dikenakan kepada anak guamnya bagi kes atas pertuduhan bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
"Anak guam saya merupakan pesara dan pernah berkhidmat sebagai pegawai kewangan GISBH dan semasa siasatan polis, dia tidak lagi bekerja dengan syarikat itu," katanya.
Hakim, Awang Kerisnada kemudiannya membenarkan jaminan sementara RM5,000 bagi pertuduhan ini sahaja bagi mengelakkan tertuduh ditahan.
Pada 23 Oktober 2024, Hamimah dan 21 pemimpin tertinggi perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu.
Selain Hamimah, lapan tertuduh wanita lain ialah isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Azura Md Yusof; 58, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
Sementara itu, 13 tertuduh lelaki lain ialah CEO GISBH, Nasiruddin Mohd Ali, 66, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33, Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

