Kertas siasatan GISBH selesai, tunggu pendakwaan - Mohamad Fahmi
Anak-anak pengikut GISBH yang sebelum ini terlibat sudah kembali bersekolah seperti biasa dengan bantuan LZS termasuk dari segi bantuan kelengkapan persekolahan.

SHAH ALAM – Kertas siasatan berhubung Global Ikhwan Sdn Bhd (GISBH) telah dikemas kini dan dihantar semula kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri kini hanya menunggu pendakwaan daripada pihak pendakwa raya selepas semakan dibuat.
“Dari segi perundangan, siasatan sudah lengkap dan saya dimaklumkan ada pengikut GISBH yang berpindah ke negeri lain selepas fatwa pengharaman dikeluarkan di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia Book of Records di sini pada Isnin.
Mohammad Fahmi menjelaskan, anak-anak pengikut GISBH yang sebelum ini terlibat sudah kembali bersekolah seperti biasa dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) termasuk dari segi kelengkapan persekolahan.
“Ibu bapa mereka juga hadir ke kelas-kelas riqab yang disediakan.
“Proses pemulihan berjalan baik, sudah lebih enam bulan setakat ini dan kita dapat melihat kesan positif,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

