Sentimen pasaran Indonesia terjejas susulan penggantian Sri Mulyani

Sri Mulyani Indrawati
Sri Mulyani Indrawati
A
A
A

JAKARTA - Pasaran saham Indonesia kekal tidak menentu pada Selasa susulan pelabur menilai kesan rombakan Kabinet oleh Presiden Prabowo Subianto yang menggantikan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati dengan Ketua Lembaga Penjamin Simpanan (LPS), Purbaya Yudhi Sadewa.

Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) ditutup pada Isnin susut 1.28 peratus kepada 7,766.84 mata, tertekan oleh jualan asing yang tinggi serta ketidaktentuan dasar fiskal.

Pada Selasa, indeks penanda aras itu dibuka lebih rendah pada 7,748.51 mata sebelum meningkat semula 0.19 peratus kepada 7,781.47 mata, didorong oleh kenaikan saham sektor bahan asas, perindustrian dan teknologi.

“Rombakan ini khususnya penggantian Sri Mulyani menimbulkan ketidaktentuan dasar. Kehilangan tokoh yang sinonim dengan kredibiliti fiskal menjadikan pelabur lebih berhati-hati,” kata pengasas Republik Investor, Hendra Wardana.

Beliau menambah, latar belakang Purbaya sebagai ahli ekonomi kanan dan bekas ketua penjamin simpanan akan diperhatikan secara teliti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Edvisor.id, Praska Putrantyo, memberi amaran bahawa nilai rupiah boleh berayun antara 16,400 rupiah hingga 16,600 rupiah bagi setiap dolar AS.

Penganalisis pula menjangkakan IHSG diniagakan dalam julat 7,670–7,840 mata, menunjukkan potensi pemulihan apabila dasar kerajaan lebih jelas diumumkan.

Di rantau Asia, kebanyakan pasaran saham meningkat susulan keyakinan bahawa data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bakal diumumkan boleh mendorong Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan kadar faedah.

Indeks Nikkei 225 Jepun naik 0.3 peratus kepada 43,763.96, Kospi Korea Selatan menokok 0.6 peratus kepada 3,238.07, manakala Hang Seng Hong Kong melonjak 1.2 peratus kepada 25,949.48.

Artikel Berkaitan:

Indeks Komposit Shanghai pula meningkat 0.1 peratus kepada 3,831.45 namun, S&P/ASX 200 Australia susut 0.5 peratus kepada 8,806.60. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!