Pekerja MRSM Gemencheh maut dalam perjalanan ke tempat kerja

TAMPIN – Seorang pekerja dewan makan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan Jalan Sungai Dua–Air Kuning Selatan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.15 pagi apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa bertembung dengan Toyota Hilux.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 21 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Felda Jelai 2, Gemas menuju ke tempat kerja di MRSM Gemencheh.
“Kejadian berlaku semasa pemandu Toyota Hilux yang tiba di persimpangan dan mahu membelok ke kanan untuk masuk ke Jalan Sungai Dua–Air Kuning Selatan.
“Semasa sedang membelok, tiba-tiba datang motosikal ditunggang mangsa dari arah Gemas melanggar sisi kiri kenderaan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, impak pelanggaran menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Tambahnya lagi, pemandu Toyota Hilux berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Tampin di talian 06-4412502.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

