Pekerja ladang sawit maut kereta terbabas langgar pokok

KOTA TINGGI - Seorang pekerja ladang sawit maut apabila kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Bandar Penawar - Punggai pada petang Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan pada jam 3.45 petang.
"Siasatan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar pokok.
"Akibatnya, lelaki terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Sementara itu Yusof berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tujuan bedah siasat.
"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
