Warga emas maut motosikal terbabas dalam perjalanan solat Subuh

HULU TERENGGANU – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di sini ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.05 pagi.
Menurutnya, mangsa, Samaruzaman Ismail, 66, menunggang motosikal jenis Honda ADV160 dari rumahnya menuju ke Masjid Bukit Perah di sini sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
"Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
