Siasatan terhadap Farhash ditutup - SPRM

Farhash Wafa Salvador
Farhash Wafa Salvador
A
A
A

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan berkaitan dakwaan syarikat milik bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, yang sebelum ini dikaitkan dengan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan selesai selepas Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada sebarang kesalahan jenayah dapat dikenakan terhadap mana-mana pihak.

"Kita telah memanggil semua pihak yang berkaitan dan merekodkan keterangan, termasuk daripada Sabah Mineral Management dan kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya mendapati tiada kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 atau Kanun Keseksaan, dan tiada isu tadbir urus, maka kes ini ditutup,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Selasa.

Menurut Azam, siasatan berhubung isu berkenaan timbul selepas terdapat dakwaan bahawa syarikat berkaitan Farhash mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk meneroka mineral di Sabah.

Jelas beliau, ia bukanlah kelulusan daripada kerajaan negeri atau EXCO, sebaliknya hanya permohonan penerokaan mineral yang dibuat kepada Sabah Mineral Management.

"Sabah Mineral Management telah memberi kelulusan bersyarat kepada syarikat berkenaan pada Mac 2023, dengan syarat dokumen tertentu perlu dikemukakan.

"Namun, syarikat itu gagal memenuhi keperluan berkenaan dan akhirnya permohonan dibatalkan pada 21 Mac lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azam menegaskan, tiada aktiviti penerokaan dijalankan kerana syarikat terbabit tidak menyerahkan dokumen diperlukan.

"Ini bukan permohonan tanah seperti yang didakwa, tetapi permohonan penerokaan mineral melalui Sabah Mineral Management, dan ia tidak melibatkan kelulusan kerajaan negeri," katanya.

Terdahulu, nama Farhash Wafa Salvador menjadi perhatian susulan gesaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadapnya.

Gesaan itu dikemukakan selepas timbul dakwaan bahawa sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador telah menerima kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah.

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berpendapat SPRM mempunyai asas yang mencukupi untuk menyiasat perkara berkenaan.

Menurut beliau, maklumat yang telah tular di media sosial menunjukkan kewujudan unsur yang wajar disiasat bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!