Rafizi terima surat tuntutan Farhash, sedia lawan di mahkamah

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan beliau menerima surat tuntutan ‘cease and desist’ daripada bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.

Tindakan itu dibuat berhubung kenyataan yang didakwa mengaitkan individu terbabit dengan serangan terhadap anaknya baru-baru ini.

Rafizi berkata, walaupun menerima surat berkenaan bertarikh 22 Ogos lalu, beliau tetap bertegas bahawa kenyataannya adalah berdasarkan fakta dan sedia mempertahankannya di mahkamah.

“Saya bersedia mempertahankan fakta-fakta tersebut di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Pandan itu turut memaklumkan bahawa beliau telah melantik peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri untuk menguruskan kes berkenaan.

Sementara itu, Farhash melalui firma guaman Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co menuntut Rafizi menarik balik tuduhan yang dibuat dalam video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, memadam kandungan tersebut serta membuat permohonan maaf terbuka dalam tempoh 48 jam.

Surat tuntutan berkenaan menyifatkan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Farhash dengan serangan terbabit sebagai palsu, berunsur jahat dan menjejaskan reputasi beliau, khususnya ketika siasatan polis masih dijalankan.

Menurut peguam Farhash, tuduhan tersebut mendedahkan anak guam mereka kepada perhatian negatif awam selain memberi gambaran salah bahawa beliau merupakan dalang kepada insiden yang berlaku pada 13 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Rafizi menegaskan sekiranya saman difailkan, ia akan menjadi kes berkepentingan awam dan membuka peluang kepada pasukan guamannya untuk menimbulkan pelbagai persoalan yang sering dibangkitkan orang ramai sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!