Rafizi gesa SPRM siasat Farhash, dakwa mampu jadi beban jejaskan PH

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mempunyai asas mencukupi untuk memulakan siasatan terhadap bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menjadi Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Gesaan itu dikemukakan Ahli Parlimen Pandan itu susulan terdapat dakwaan sebuah syarikat dikaitkan Farhash Wafa Salvador telah menerima perolehan kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah.

Rafizi berkata, maklumat yang telah tular di media sosial menunjukkan kewujudan unsur yang wajar disiasat bagi memastikan ketelusan serta mengelak persepsi negatif terhadap kerajaan.
“Maklumat-maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap Farhash Wafa Salvador, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.
“Jika tidak, bukan sahaja usaha-usaha untuk mencegah rasuah tidak membuahkan hasil yang dikehendaki, malah akan terus menjejaskan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, tular laporan dan dokumen didakwa membabitkan sebuah syarikat dikenali sebagai Knaz Resources Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador, diberikan permit pencarian dan penyelidikan (prospecting licence) bagi sumber arang batu di Mukim Tongod, Sandakan, Sabah pada tahun 2023.
Pendedahan itu menimbulkan persoalan umum kerana permit pencarian galian tersebut dikatakan diperoleh hanya dalam tempoh kurang tiga bulan selepas syarikat berkenaan didaftarkan.
Selain Farhash Wafa Salvador, seorang lagi individu yang dinamakan sebagai pengarah syarikat merupakan bekas ahli lembaga agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, Rafizi turut memberi amaran bahawa isu yang membelenggu Farhash Wafa Salvador itu berisiko memberi impak buruk kepada parti dan gabungan kerajaan menjelang pilihan raya akan datang.
“Saya khuatir beban Farhash ini akan mengheret PKR dan PH dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

