Farhash Wafa Salvador enggan jumpa media

Farhash Wafa Salvador (dua dari kiri) kelihatan ceria ketika diraikan selepas menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) pada Sabtu.
Farhash Wafa Salvador (dua dari kiri) kelihatan ceria ketika diraikan selepas menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) pada Sabtu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawat jawatan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, di sini pada Sabtu.

Penganugerahan tersebut berlangsung sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-84 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dalam satu istiadat rasmi di Dewan Sri Pinang, di sini.

Farhash Wafa Salvador kelihatan ceria apabila diraikan oleh rakan-rakan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di luar dewan selepas disarungkan kain sebagai ucapan tahniah atas penganugerahan yang diterimanya.

Namun begitu, beliau terus bergegas masuk semula ke dalam dewan selepas menyedari kehadiran petugas media.

Terdahulu, nama Farhash Wafa Salvador menjadi perhatian susulan gesaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadapnya.

Gesaan itu dikemukakan selepas timbul dakwaan bahawa sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador telah menerima kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah.

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berpendapat SPRM mempunyai asas yang mencukupi untuk menyiasat perkara berkenaan.

Menurut beliau, maklumat yang telah tular di media sosial menunjukkan kewujudan unsur yang wajar disiasat bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

"Maklumat-maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap Farhash Wafa Salvador, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.

Artikel Berkaitan:

"Jika tidak, bukan sahaja usaha-usaha untuk mencegah rasuah tidak membuahkan hasil yang dikehendaki, malah akan terus menjejaskan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!