Bekas pengarah syarikat didakwa guna dokumen palsu projek MEX II RM314 juta

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Maju (MEX II) berjumlah RM314.5 juta, pada 2017 dan 2018 lalu.
Ia membabitkan projek sambungan MEX II bagi menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bekas pengarah syarikat Mex II Sdn Bhd, Datuk Yap Wee Leong, 68, yang memakai baju batik berwarna hijau, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menggunakan sebagai tulen dokumen iaitu Progress Claim berjumlah RM314,486,100 bagi kerja-kerja ‘Site Clearance, Temporary Works, Earthworks, Geotechnical Works, Drainage Works and Pavement Works (Subgrade).
Ia bagi projek “Proposed Lebuhraya Putrajaya To KLIA (MEX II) Commencing From Putrajaya Interchanged and Terminating At KLIA For Maju Holdings Sdn Bhd’ yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut palsu.
Kesalahan didakwa dilakukan di syarikat Maju Holdings Sdn Bhd, Jalan Sultan Ismail di sini antara Jun 2017 hingga April 2018.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, kes berkenaan termasuk dalam pertuduhan yang tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk memberikan jaminan, beliau mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.
“Kadar itu dipersetujui oleh pihak pembelaan termasuk syarat tambahan tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.
Sementara itu, peguam, Abdul Hakeem Aiman yang mewakili tertuduh mengesahkan persetujui kadar jaminan tersebut.
“Waris kepada anak guam saya tidak mampu untuk menyediakan jumlah yang tinggi memandangkan akaun bank mereka telah dibekukan pihak berkuasa.
“Kami juga tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pembelaan,” katanya.
Hakim, Rosli kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin mengikut kadar yang dipersetujui kedua-dua pihak dan menetapkan sebutan semula kes pada 3 November depan.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset kira-kira RM32 juta termasuk beg tangan berjenama, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai milik seorang individu yang dikaitkan dengan skandal pembinaan lebuh raya.
Dalam operasi itu juga, SPRM menemui sebuah stor di salah sebuah kediaman yang digunakan untuk menyimpan pelbagai minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta, dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan, semua barang dan aset berkenaan disita bagi siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

