Covid-19: Angka positif seluruh negara melepasi 1,000 orang

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Angka pesakit Covid-19 di seluruh negara kini melepasi 1,000 apabila sebanyak 130 kes baharu direkodkan hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif positif sebanyak 1,030 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi turut bertambah.

"Daripada jumlah itu, seramai 26 dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Menurutnya, daripada 130 kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 48 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

"Bagaimanapun KKM ingin memaklumkan terdapat 12 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 87 kes," katanya.

Beliau berkata, orang awam yang tidak sihat boleh menghubungi virtual health advisory dan mengikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula pada jam 9.00 pagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar kekal aktif meskipun berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

"Pada masa kini terdapat pelbagai senaman di rumah yang boleh dilakukan, contohnya kardio, push-ups, squats, planks, burpees dan lounges (yang menggunakan pelbagai otot tanpa memerlukan peralatan khusus) serta senaman tabata dan senaman ringan seperti yoga atau tai chi," katanya.

Sebarang pertanyaan dan kemusykilan, orang awam boleh menghubungi talian Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, KKM.

Maklumat lanjut mengenai kejadian Covid-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia.