Lebih 1,000 produk PMKS tersenarai dalam Program SARA

BALING – Penambahan lebih 1,000 produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk menebus bantuan tersebut di premis-premis terpilih seluruh negara.
Pemilik Pasaraya Ekonomi Rakyat Baling, Mohammed Nazaran Khan Mohamed Khan berkata, penambahan produk itu turut membuka peluang kepada pengusaha PMKS untuk menyenaraikan produk tempatan dalam pembelian menggunakan SARA.
Menurutnya, langkah ini secara tidak langsung membolehkan produk tempatan menjadi pilihan utama rakyat ketika menebus sumbangan mereka di premis berkaitan.
“Setakat ini terdapat kira-kira lebih 1,000 produk tempatan yang dikilangkan di Baling, Mergong dan Sungai Petani.
“Jadi saya rasa semua produk tempatan (PMKS) boleh dibeli dan kita juga telah membuat permohonan serta mengemas kini senarai. Ini yang kita mahukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di pasar raya tersebut pada Sabtu.
Selain itu, Mohammed Nazaran turut menawarkan baucar bernilai RM5 kepada penerima SARA yang menebus RM100 di premis miliknya sebagai nilai tambah kepada pembelian mereka.
Dalam pada itu, seorang ibu tunggal, Fadzilah Hassan, 58, dari Kampung Charuk Sikin, Mukim Pulai, menyatakan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima bantuan SARA.
Dia yang bekerja sebagai penoreh getah meluahkan keterujaan apabila disapa oleh Perdana Menteri semasa proses penebusan sumbangan di pasar raya itu.
“Sumbangan ini banyak membantu. Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi kembali kepada rakyat. Rakyat seronok,” katanya ringkas.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Anwar berpuas hati dengan sistem pelaksanaan pembelian barangan melalui Program SARA yang kini turut diperluaskan ke pasar raya kecil di kawasan luar bandar.
Perdana Menteri menyatakan demikian ketika hadir meninjau kelancaran program berkenaan di Pasaraya Ekonomi Rakyat Baling pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

