Silibus Palapes dibentuk semula libat dua kementerian

SHAH ALAM – Silibus dan latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) akan dikaji semula melalui kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan program itu terus relevan dengan keperluan semasa.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata kolaborasi itu penting kerana latihan ketenteraan berada di bawah seliaan kementeriannya, manakala majoriti anggota Palapes terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi.
“Latihan Palapes memang tanggungjawab Kementerian Pertahanan tetapi memandangkan pasukan ini terdiri daripada pelajar universiti, kita mesti bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Silibus yang disemak semula perlu ada kesinambungan dengan pembentukan jati diri pelajar dan juga persediaan mereka untuk menjadi sebahagian daripada anggota pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Konvensyen Amanah Selangor di The Midlands Convention Centre, Seksyen 7, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, Jawatankuasa Pengurusan Palapes akan menilai semula keperluan latihan termasuk aspek keselamatan, kesihatan dan fizikal supaya lebih sesuai dengan cabaran semasa.
“Kita sentiasa berbincang mengenai pelaksanaan program Palapes dan apabila ada isu baharu, kementerian akan tambah baik dengan melihat semula beberapa peraturan.
“Faktor paling utama adalah keselamatan pelajar kerana latihan ketenteraan membabitkan banyak aspek fizikal,” tambah beliau.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan akan melaksanakan rombakan dan penambahbaikan terhadap beberapa kurikulum dan pengisian melibatkan Palapes di seluruh universiti awam.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan penyertaan mahasiswa dalam program latihan di universiti tidak menjadi sia-sia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

