Delegasi Argentina pulang awal, Program Bebas Visa AS belum dimuktamadkan

Delegasi rasmi Argentina terpaksa pulang ke negara asal selepas tiba di Amerika Syarikat (AS) berikutan Program Bebas Visa antara kedua-dua negara masih belum ditandatangani. Gambar hiasan
Delegasi rasmi Argentina terpaksa pulang ke negara asal selepas tiba di Amerika Syarikat (AS) berikutan Program Bebas Visa antara kedua-dua negara masih belum ditandatangani. Gambar hiasan
A
A
A

WASHINGTON DC – Delegasi rasmi Argentina terpaksa pulang ke negara asal selepas tiba di Amerika Syarikat (AS) berikutan Program Bebas Visa antara kedua-dua negara masih belum ditandatangani.

Menurut laporan portal berita Amerika, Axios, rombongan dari Buenos Aires yang dijadualkan menghadiri acara di Washington DC dimaklumkan secara mendadak bahawa majlis tandatangan perjanjian tersebut dibatalkan.

Malah, dakwaan itu menyebut pembatalan dibuat tanpa notis rasmi daripada Menteri Keselamatan Dalam Negeri AS, Kristi Noem, kepada pegawai Argentina.

Delegasi terbabit dilaporkan berlepas dari Buenos Aires ke Miami minggu lalu.

Setibanya di sana, pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) memaklumkan bahawa mereka tidak boleh meneruskan perjalanan ke Washington DC kerana dokumen perjanjian belum dimuktamadkan.

Program Bebas Visa itu sepatutnya membolehkan warganegara AS dan Argentina melakukan perjalanan tanpa visa bagi tempoh maksimum 90 hari.

Bagaimanapun, DHS dan kerajaan Argentina menafikan laporan berkenaan.

Dalam kenyataan di platform X, DHS menegaskan tiada dokumen baharu yang perlu ditandatangani dan menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Argentina.

Terdahulu, Kristi Noem mengadakan lawatan ke Argentina pada Julai lalu bagi membincangkan peluang mengembalikan negara itu dalam 'Program Bebas Visa'.

Artikel Berkaitan:

Beliau memuji kepimpinan Presiden Javier Milei yang dianggap komited terhadap keselamatan sempadan.- Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!