Pekerja kontrak maut tertimbus: Projek di UMS dihentikan serta-merta

Laporan Sinar Harian mengenai seorang pekerja maut tertimbus ketika kerja-kerja projek dijalankan oleh kontraktor di kawasan kampus pada tengah hari Sabtu.
Laporan Sinar Harian mengenai seorang pekerja maut tertimbus ketika kerja-kerja projek dijalankan oleh kontraktor di kawasan kampus pada tengah hari Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Projek yang dijalankan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dikaitkan dengan kematian seorang pekerja kontrak telah dihentikan sehingga siasatan pihak berkuasa selesai, selain turut menjalani audit keselamatan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMS, universiti itu mengesahkan berlaku satu insiden membabitkan kematian seorang pekerja ketika kerja-kerja projek dijalankan oleh kontraktor di kawasan kampus pada tengah hari Sabtu.

"UMS memandang serius perkara ini dan telah segera menggerakkan pasukan Bahagian Keselamatan (BKUMS), Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) serta Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) bagi membantu operasi awal serta menyelaras tindakan dengan pihak berkuasa.

"Pihak UMS juga telah berhubung dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Sabah berkaitan insiden ini dan sebagai langkah berwaspada, projek berkaitan telah dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan pihak berkuasa.

"UMS akan turut melaksanakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua projek yang sedang berjalan," kata kenyataan itu pada malam Sabtu.

Katanya lagi, pihak universiti amat berdukacita dengan kejadian itu dan menzahirkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga mangsa.

"UMS, melalui kontraktor, akan memastikan bantuan dan sokongan sewajarnya disalurkan kepada keluarga mangsa.

"UMS menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan warga kampus serta pihak yang terlibat dalam projek sentiasa menjadi keutamaan. UMS komited memperkukuhkan lagi pemantauan kepada pematuhan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang," katanya.

Sehubungan itu, UMS turut menyeru semua pihak agar menghormati sensitiviti keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan rasmi diumumkan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!