Pekerja kontrak maut tertimbus: 'Kami dengar suara arwah minta tolong' - Rakan

PARIT - "Kami dengar lagi suara arwah minta tolong sebelum runtuhan kedua menimpanya."
Detik itu diceritakan salah seorang rakan sekerja ketika cuba menyelamatkan mangsa, Raja Daniel Iskandar Raja Teh Suhaimi, 25, yang maut akibat tertimbus dalam timbunan tanah dan batu dalam kejadian di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri di sini pada Ahad.
Menurut pekerja kontrak yang enggan dikenali itu, mangsa sedang melakukan kerja-kerja akhir pemasangan paip bersaiz 600 milimeter (mm).
"Runtuhan pertama menimpa arwah yang ketika itu berada pada kedalaman tidak sampai dua meter. Selepas terdengar jeritannya, kami bertiga turun untuk membawa keluar mangsa.
"Namun ketika sedang mengorek tanah, runtuhan kedua berlaku dan menenggelamkan hingga paras dada menyebabkan kami sukar bergerak.
"Runtuhan itu juga menyebabkan seorang lagi rakan kami tertimbus, namun dia berjaya diselamatkan," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Seri Iskandar pada Isnin.

Tambahnya, dia dan seorang lagi rakan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang lagi yang cedera parah menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.
Sementara itu, rakan karib mangsa, Muhammad Raziq Fadlin Mohd, 26, berkata arwah yang berasal dari Kuala Terengganu begitu teruja sebelum berangkat bekerja di Perak.
"Kami sekampung, jadi setiap kali bersembang dia selalu cakap tidak sabar kerana ini kali pertama datang bekerja di Perak.
"Mereka tiba di sini dua hari lepas untuk bekerja selama seminggu, tiba-tiba semalam dapat khabar dia ditimpa kecelakaan," katanya.
Menurut Muhammad Raziq, tidak terbayang perasaan keluarga arwah apabila dia baru dua bulan bergelar bapa selepas menimang sepasang anak kembar.

Jenazah Raja Daniel Iskandar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam Lama, Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Media sebelum ini melaporkan seorang maut manakala tiga lagi terselamat selepas terjerumus ke dalam pam pasir di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, pada Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak diatur gerak bagi operasi menyelamat.
Setiba di lokasi, didapati empat mangsa terlibat, tiga tersekat dalam pam pasir manakala seorang lagi tertimbus sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
