Kaji semula SOP bendung rasuah

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada supaya lebih mampan, telus dan berkesan dalam membendung amalan salah laku rasuah, khususnya dalam sektor awam dan swasta.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, langkah itu penting kerana SOP yang lemah atau tidak dikemas kini boleh membuka ruang kepada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dana awam.
"Proses pengurusan yang tidak jelas atau terlalu longgar juga berpotensi meningkatkan risiko amalan rasuah berlaku dalam kalangan pihak berkepentingan.
"SOP yang mantap bukan sahaja memastikan setiap prosedur dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan, malah memberikan mekanisme kawalan dan pengawasan yang lebih ketat.
"Ini termasuklah mewujudkan sistem audit dalaman yang lebih teliti, melaksanakan pengesanan transaksi yang mencurigakan, serta memperkenalkan teknologi digital bagi meningkatkan ketelusan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, seorang pembantu hal ehwal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM8,000 bagi mengurangkan bayaran kompaun sebuah syarikat yang disiasat Bahagian Pengurusan Halal, dua tahun lalu.
Tertuduh, Amir Zubir, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Amir didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM8,000 daripada seorang pemilik syarikat melalui akaun bank miliknya sebagai dorongan mengurangkan kompaun yang dikenakan.
Dalam pada itu Hamdan Daniel juga menggesa kerajaan supaya memperkukuh penguatkuasaan undang-undang dan tindakan punitif terhadap individu yang terlibat dalam rasuah agar menjadi pengajaran kepada pihak lain.
"Kesedaran mengenai kepentingan integriti dan akauntabiliti turut perlu dipertingkatkan melalui program latihan, pendidikan antirasuah dan kempen kesedaran secara berterusan.
"Jenayah rasuah berlaku dalam institusi agama adalah sesuatu yang amat mendukacitakan. Bagaimana seorang yang berkhidmat di bawah badan agama sanggup menggadaikan maruah demi kesenangan sementara. Ini amat menyedihkan seharusnya pegawai terbabit harus memikirkan halal haram yang menjadi pegangan agama dan amalan hidup.
"Salah laku melibatkan amalan rasuah akan terus menghakis kepercayaan rakyat atas penyampaian dan takbir urus yang lemah dengan dugaan dan godaan apabila disogokkan dengan wang ringgit. Di sinilah perlunya nilai integriti menjadi bentang utama dalam menolak rasuah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

