Seorang pekerja Telekom Malaysia disyaki positif Covid-19

A
A
A

KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia Bhd (TM) hari ini mengesahkan bahawa seorang kakitangannya telah disyaki positif dijangkiti Covid-19.

Dalam satu kenyataan, TM berkata, pekerja di Menara TM ONE di Damansara di sini kini menerima rawatan perubatan di sebuah hospital kerajaan.

“Pekerja terbabit disyaki mengalami gejala itu di luar pejabat dan bercuti sejak 11 Mac lepas,” katanya.

Berikutan itu, TM mengambil semua langkah perlu bagi mengekang penularan virus itu serta memastikan pekerja lain selamat.

"Menara TM ONE telah diletakkan di bawah sekatan pergerakan dan proses disinfeksi sedang dilaksanakan sebagaimana dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, usaha pengesanan kontak yang rapat dengan pekerja itu sedang dilakukan oleh kementerian itu dan pasukan respons Covid-19 TM selain menyiasat lokasi beliau dijangkiti virus tersebut.

Malah, pada masa ini, mereka yang pernah berada rapat dengan pekerja terbabit serta-merta diletakkan dalam kuarantin di rumah masing-masing dan perlu menghubungi mana-mana pusat perubatan daerah terdekat jika mempunyai sebarang gejala berkaitan.- Bernama

Artikel Berkaitan: