Sidang Kemuncak ASEAN: IPT diberi kelonggaran laksana PdP dalam talian

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kelonggaran kepada semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk memilih kaedah pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sama ada secara dalam talian atau fizikal.
Ia susulan penutupan jalan bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung dari Isnin sehingga Rabu depan yang dijangka akan menyebabkan kesesakan trafik.
Salam kenyataan pada Rabu, KPT berkata, setiap IPT diminta untuk membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup untuk menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian.
"Kementerian yakin dengan PdP secara dalam talian ini akan memberi kemudahan kepada mereka yang terlibat untuk merancang pergerakan dan dalam masa sama memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung ini akan menghimpunkan seramai 10 pemimpin negara bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

