Ibu tunggal diperdaya bomoh online, wang dan barang kemas RM103,000 'ghaib'

ROMPIN - Seorang tukang jahit kerugian RM103,000 selepas diperdaya dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai pengamal perubatan tradisional atau bomoh melalui media sosial.
Kejadian bermula pada 1 September lalu, apabila ibu tunggal berusia 51 tahun dari Chukai, Terengganu berkenaan dengan suspek di aplikasi Omi dan telah berhubung melalui Telegram.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, suspek mendakwa mangsa terkena buatan orang dan menawarkan rawatan.
"Mangsa diarahkan melakukan beberapa ritual termasuk menggunakan telur dan garam serta perlu diletakkan dalam bilik.
"Mangsa kemudian merasa seperti telah dipukau dan menunjukkan barang-barang emas milik miliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa seterusnya menjual empat utas gelang tangan emas bernilai RM71,350 di sebuah kedai emas di Cukai, Kemaman pada Rabu seperti diminta suspek.
“Pada hari sama sekitar jam 4.30 petang, mangsa meletakkan wang tunai RM71,000 bersama seutas rantai emas seberat 80 gram berhampiran longkang di kawasan Kota Bahagia, Rompin seperti diarahkan suspek.
"Mangsa juga dimaklumkan wang itu akan 'ghaib' dan akan diterima semula dalam tempoh masa tiga hingga empat hari atau dua minggu, jika rawatan diteruskan," katanya.
Sharif Shai memberitahu, suspek turut meminta mangsa merakam rakaman video tidak senonoh dengan mana-mana lelaki dan gambarnya tidak berpakaian.
Jelasnya, mangsa akhirnya akur dan menghantar beberapa rakaman dan gambarnya kepada suspek, jam 5.30 pagi pada Khamis.
Namun katanya, pada keesokan harinya, kira-kira jam 6 pagi, mangsa kembali ke lokasi penyerahan barang namun mendapati tiada apa-apa seperti dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis.
“Mangsa merasakan tertipu tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Bahagia dan telah mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM103,000,
"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran rawatan mistik atau individu tidak dikenali menerusi aplikasi media sosial.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin di talian 09-4145999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

