Kerajaan disaran pertimbang subsidi yuran taska dua hala

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan subsidi yuran taska secara dua hala iaitu terus kepada taska berdaftar bagi memastikan semua ibu bapa dapat menerima manfaat sama rata, dalam masa sama menyalurkan sebahagian subsidi secara tunai kepada ibu bapa yang layak.
Perunding takaful, Farhana Ahmad Khair, 38, berkata, subsidi yang disalurkan dua hala secara tidak langsung menguntungkan kedua-dua pihak.
Menurutnya, kerajaan wajar mempertimbangkan jumlah subsidi sekurang-kurangnya RM200 kepada ibu bapa dan RM150 hingga RM250 kepada pihak taska berdaftar untuk seorang bayi.
“Gabungan subsidi terus kepada ibu bapa secara tunai dan subsidi taska lebih baik.
“Jadi, kos bulanan ditanggung ibu bapa lebih rendah, dalam masa sama taska dapat bertahan dengan kualiti lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan bersetuju mempertimbang langkah meneliti semula Subsidi Yuran Pengasuhan untuk memastikan kos penjagaan bayi tidak terlalu membebankan ibu bapa serta pengusaha taska di seluruh negara.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, pemberian geran secara berterusan bukanlah penyelesaian lestari kerana taska merupakan entiti perniagaan berdaftar.
Justeru katanya, kementerian berpandangan penyaluran subsidi terus kepada ibu bapa lebih berkesan kerana manfaat dapat sampai terus kepada kumpulan sasar.
Selain itu, Nancy berkata, kementerian juga sedang meneliti langkah penambahbaikan lain seperti peluasan potongan cukai atau rebat kepada ibu bapa dan pengusaha taska.
Reaksi tersebut susulan laporan Sinar Harian menerusi laporan khas sebelum ini yang mendedahkan, sektor asuhan awal kanak-kanak negara berdepan krisis apabila 35 hingga 40 peratus pengusaha taska berdaftar di negara ini menamatkan perkhidmatan menjaga bayi di bawah usia setahun.
Lebih membimbangkan, peningkatan kos operasi taska melambung tinggi saban tahun serta risiko pengenaan hukuman berat akibat peraturan ketat menyebabkan 15 hingga 25 peratus taska kini mempertimbang penutupan operasi.
Pemandu e-hailing, Khairul Afnan Abd Jalal, 36, pula berpandangan, meskipun mengakui bantuan tunai secara terus akan lebih bersasar, subsidi kepada taska juga perlu dipertimbangkan agar kadar yuran yang dikenakan lebih seimbang.
Katanya, kerajaan wajar menetapkan syarat-syarat tertentu seperti kawalan harga maksimum untuk melayakkan taska menerima subsidi yuran.
“Jadi, pihak taska tak boleh sesuka hati letak harga yuran yang melampau sebab akhirnya ibu bapa juga yang kena tanggung yuran yang makin mahal.
“Subsidi terus kepada golongan yang layak juga perlu diteruskan,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Mahzura Ramli, 37, yang baru melahirkan anak pertama Jun lalu, penyaluran subsidi kerajaan amat dialu-alukan memandangkan kadar yuran taska untuk penjagaan anaknya bermula Oktober depan adalah sebanyak RM850 sebulan.
Justeru dia berharap kerajaan dapat melaksanakan insentif tersebut menerusi Belanjawan 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
