'Rakyat dipukul, mayat dicampak ke laut'

Ajaya menunjukkan peta di mana beliau ditugaskan di Timor Timur. FOTO: Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ajaya menunjukkan peta di mana beliau ditugaskan di Timor Timur. FOTO: Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

Meskipun sudah 26 tahun berlalu, namun memori tragedi pembunuhan beramai-ramai penduduk desa di Timor-Leste (dulu dikenali sebagai Timor Timur) oleh kumpulan militia masih segar dalam ingatan bekas pegawai tentera Leftenan Kolonel (B) Ajaya Kumar.

Ajaya berkata, beliau merupakan salah seorang daripada tujuh pegawai tentera Malaysia yang menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu United Nation Mission in East Timor (UNAMET) di Timor Timur pada 1999.

Ajaya menunjukkan gambar kenangan ketika bertugas di Timor Timur.
Ajaya menunjukkan gambar kenangan ketika bertugas di Timor Timur.

“Majoriti rakyat Timor Timur memilih untuk merdeka dari Indonesia. Keputusan itu mencetuskan gelombang keganasan oleh militia.

“Saya menerima maklumat daripada penduduk di sebuah desa, bagaimana mereka dipukul, ada yang dibunuh dan mayat yang dicampak ke laut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, terdapat sebahagian rakyat di kawasan itu terpaksa menjadi pelarian ke kawasan sempadan setelah pihak militia mula memusnahkan kemudahan awam dan kediaman.

Mengimbau kembali tragedi itu, beliau yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata, keberaniannya diuji apabila perlu bertemu komander pasukan militia terbabit.

Menurut Ajaya, beliau memandu ke kem militia terbabit sebelum dihampiri lebih 50 lelaki lengkap bersenjata api buatan sendiri dan parang.

Artikel Berkaitan:

Pengalaman bertugas di Timor Timur masih segar dalam ingatan Ajaya.
Pengalaman bertugas di Timor Timur masih segar dalam ingatan Ajaya.

“Saya difahamkan anggota pasukan militia yang digelar ‘Laksaur’ itu telah mengugut penduduk tempatan yang menyokong kemerdekaan.

“Mereka kelihatan sangat bengis, saya telah menyatakan hasrat untuk bertemu dengan ketua mereka,” katanya.

Jelasnya, kehadirannya sebagai wakil pertama dari PBB di daerah terbabit amat tidak disangka oleh komander kumpulan terbabit.

“Ketua terbabit menghentam PBB dan menjelaskan tidak mengalu-alukan kedatangan pertubuhan itu.

“Saya tidak mahu berdebat dengan individu berkenaan dan hanya mahu menjadi pendengar yang baik, dalam masa sama mengumpul maklumat,” katanya.

Misi Pengaman PBB

Bapa dua anak itu berkata, beliau telah memohon untuk bertugas dalam Misi Pengaman PBB pada 1997.

“Saya telah menghadiri kursus United Nations Military Observer (UNMO) lebih sebulan di Port Dickson. Setelah tamat kursus, nama kami akan disenaraikan dalam senarai menunggu untuk Misi Pengaman PBB,“ katanya.

Ajaya berkata, beliau telah dimaklumkan supaya bersiap siaga untuk menyertai Misi Pengaman PBB sebagai Military Observer di Timor Timur pada 1999.

Ajaya bergambar dengan rakan setugas di Timor Timur.
Ajaya bergambar dengan rakan setugas di Timor Timur.

Katanya lagi, di peringkat awal dirinya hanya menerima sedikit maklumat berkaitan konflik di Timor Timur.

“Kami menaiki pesawat ke Darwin, Australia untuk kursus orientasi selama seminggu, sebelum terlibat dalam Misi Pengaman PBB.

“Saya mendapat maklumat berkaitan keadaan sebenar di Timor Timur setelah menyertai kursus tersebut,” katanya.

Jelas Ajaya, misi PBB di Timor Timur merujuk kepada operasi penting yang dijalankan selepas referendum kemerdekaan wilayah itu dari Indonesia.

Ajaya berkhidmat dalam pasukan ATM selama 35 tahun.
Ajaya berkhidmat dalam pasukan ATM selama 35 tahun.

“PBB melalui UNAMET menganjurkan referendum untuk menentukan sama ada rakyat Timor Timur mahu merdeka atau terus menjadi sebahagian dari Indonesia,” katanya.

Ajaya berkata, anggota pasukan pengaman PBB melaksanakan pelbagai tugasan termasuk membantu penghantaran bantuan kemanusiaan.

“Saya bersama tiga rakan setugas telah ditugaskan di kawasan Bobonaro untuk memastikan penduduk hadir dalam proses pendaftaran pungutan suara kemerdekaan selama dua hari.

“Kita juga sebagai liaison antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dengan United Nation serta Angkatan Bersenjata Pembebasan Nasional Timor Timur (Falintil),” katanya.

Beliau berkata, pada 4 September 1999, Timor Timur, PBB melalui misi UNAMET mengumumkan keputusan rasmi pungutan suara yang diadakan pada 30 Ogos tahun sama.

“Dalam pengumuman di Dili, Timor Timur itu, PBB mengesahkan bahawa 78.5 peratus daripada rakyat Timor Timur memilih untuk merdeka.

“Keputusan itu disambut dengan sorakan, namun suasana riang itu bertukar menjadi mimpi ngeri hanya beberapa jam kemudian,” katanya.

Helikopter merupakan salah satu pengangkutan yang digunakan ketika bertugas di Timor Timur.
Helikopter merupakan salah satu pengangkutan yang digunakan ketika bertugas di Timor Timur.

Menurutnya, militia telah melancarkan kekecohan dengan membakar rumah, pejabat dan kemudahan awam.

“Ribuan penduduk dipaksa melarikan diri menuju Timor Barat. Keadaan yang semakin memburuk akhirnya memaksa PBB bertindak menghantar pasukan pengaman INTERFET (International Force for in East Timor).

“Tujuannya bagi memulihkan keamanan, melindungi orang awam, memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mangsa dan menstabilkan keadaan supaya pentadbiran sementara PBB dapat berfungsi,” katanya.

Menurut Ajaya, beliau ditugaskan di kepulauan itu kira-kira setahun dan pulang ke tanah air pada Jun 2000.

“Timor Timur mencapai kemerdekaan pada Mei 2002 dan dinamakan semula sebagai Timor-Leste,” katanya yang bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2013.

PROFIL AJAYA KUMAR

Status: Berkahwin

Anak: 2 orang

Tarikh Lahir: 3 Februari 1958

Berasal: Pulau Pinang

Tarikh masuk ATM: Jun 1977

Tarikh bersara ATM: Februari 2013

Tempoh perkhidmatan dalam ATM: 35 tahun

Pangkat semasa bersara: Leftenan Kolonel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!