Tak pakai topeng muka, berbual ketika beli makanan!

Polis Pulau Pinang komited mengadakan sekatan jalan raya sepanjang 14 hari ini.
Polis Pulau Pinang komited mengadakan sekatan jalan raya sepanjang 14 hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa kawasan terutamanya di pasar awam masih kelihatan ramai pembeli yang keluar membeli keperluan dengan cara santai seperti tiada apa yang berlaku.

Lebih teruk ada yang tidak memakai topeng muka dan berbual panjang ketika membeli barang basah di gerai tepi jalan tanpa menghiraukan arahan yang dikeluarkan.

Tinjauan di Pasar Pagi Taman Free School dan Pasar Pagi Tanjung Bungah mendapati masih ramai yang degil dan tidak menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan.

Salah seorang pembeli yang hanya ingin dikenali sebagai Lim berkata, dia hanya keluar untuk membeli barang mentah untuk bekalan sepanjang tempoh tersebut.

Orang ramai masih memenuhi Pasar Pagi Tanjung Bungah pagi tadi.
Orang ramai masih memenuhi Pasar Pagi Tanjung Bungah pagi tadi.

Ditanya mengapa tidak memakai topeng muka, dia menjawab, "Sat saja, lagi pun rumah dekat," katanya.

Sementara itu di Pasar Hari Padang Tembak pula didapati ramai warga emas masih melepak di kerusi batu di bawah flat untuk berbual kosong.

Kebanyakan mereka tidak memakai penutup muka selain menghisap rokok dan berbual sambil minum kopi tanpa menghiraukan arahan yang dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun ada di beberapa tempat sudah menunjukkan perubahan antaranya Pasar Air Itam dan Jalan Penang.

Di Pasar Air Itam, keadaan hari ini berbeza dengan semalam yang mana, kawasan itu tidak sesak dengan kenderaan dan penduduk yang keluar untuk membeli bahan mentah dan makanan.

Turut kelihatan Skuad Khas Covid-19 Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang menjalankan tugas dengan meminta orang ramai beredar dari kawasan tersebut dengan segera.

Tinjauan di sekitar bandar Georgetown juga mendapati jalan raya lengang, namun ada beberapa gerai makanan yang masih menjalankan perniagaan.

Walaupun tidak menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk pelanggan makan secara 'dine in', masih ramai yang beratur untuk membeli dan membawa pulang.

Orang ramai masih memenuhi Pasar Pagi Taman Free School pagi tadi.
Orang ramai masih memenuhi Pasar Pagi Taman Free School pagi tadi.

Malah, Nasi Kandar Line Clear yang kononnya tular premis itu dikunjungi ramai pelanggan semalam juga menutup operasinya.

Tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mendapati semua penerbangan dibatalkan dan ruang menunggu juga kosong.

Selain ruang menunggu, kawasan menunggu untuk kenderaan juga lengang tanpa sebarang kenderaan termasuk pengangkutan awam.

Dalam pada itu, Polis Pulau Pinang juga dilihat mengadakan sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan orang ramai susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilancarkan Perdana Menteri tiga hari lalu.

Sehingga hari ini, tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang sekatan jalan dan pemeriksaan yang dijalankan polis di Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kawasan yang masih dipenuhi orang awam sepanjang tempoh 14 hari ini.

Beliau turut mengesahkan, sehingga hari ini, tiada anggota atau pegawai Polis Pulau Pinang dijangkiti virus Covid-19.