Seludup senjata api perang: Siasatan fokus kepada jenayah terancang atau 'transporter' - Menteri

Saifuddin bercakap ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai di Baling pada Jumaat.
Saifuddin bercakap ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai di Baling pada Jumaat.
A
A
A

BALING - Siasatan menyeluruh ke atas lelaki yang ditahan bersama dua laras senjata api jenis M16 dan 450 butir peluru di Danok akan menjurus kepada status sama ada terlibat dalam rangkaian kumpulan jenayah terancang mahupun sekadar 'transporter'.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai latar belakang suspek lelaki berusia 42 tahun itu.

"Sekarang kita sedang melihat latar belakang lelaki itu sama ada sekadar orang upahan, jalankan peranan sebagai 'transporter' ataupun sebahagian daripada satu rangkaian kumpulan jenayah lebih besar.

"Berdasarkan siasatan awal, ia tidak terkait dengan elemen sindiket atau jenayah yang kita anggap besar sebagai sebuah kumpulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai di sini pada Jumaat.

Saifuddin menjelaskan, secara kebiasaan perkembangan kes akan dimaklumkan kepada kerajaan atas hubungan baik antara Malaysia dan Thailand, bukan sahaja antara Government to Government (G2G), tetapi juga Police to Police (P2P).

"Saya telah diberi taklimat lengkap oleh polis tentang status isu ini. Tangkapan dibuat di Thailand, maka pihak Thailand akan jalankan siasatan. Kebiasaannya, pihak Thailand akan maklumkan juga kepada pihak kita dan kita juga telah buat profiling," katanya.

Jelas beliau lagi, polis sendiri akan menyiasat dalang sekiranya mendapati ia melibatkan rangkaian atau kumpulan sindiket yang lebih besar.

"Kita akan cari sampai ke penghujung siapakah rangkaian yang terlibat dalam skala penangkapan dan rampasan barang sebegitu," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Ditanya adakah ia mempunyai kaitan dengan kumpulan keganasan, beliau menjelaskan siasatan awal setakat ini belum menemui bukti sama ada suspek terlibat dalam kegiatan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand kerana disyaki cuba menyeludup dua laras raifal M16 dan 450 butir peluru di sebuah sekatan jalan raya di Pekan Danok, Daerah Sadao, Thailand pada minggu lalu.

Lelaki tersebut didakwa cuba menyeludup senjata api dan dipercayai menerima upah RM10,000 untuk menjalankan tugas tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!