Golongan wanita pula buat demonstrasi, bawa penyapu lidi depan DPR

Demonstrasi membawa plakad tertera pelbagai pendapat dan tuntutan mereka kepada pemerintah. Foto Agensi
Demonstrasi membawa plakad tertera pelbagai pendapat dan tuntutan mereka kepada pemerintah. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Ratusan wanita memakai baju merah jambu sambil membawa penyapu lidi berarak menuju ke Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di ibu kota Jakarta pada Rabu.

Demonstrasi terbaharu itu diadakan sebagai membantah tindakan kekerasan melampau pihak berkuasa dan perbelanjaan kerajaan yang boros.

Siri protes di ibu kota Indonesia itu dan bandar lain telah memasuki minggu kedua yang dipicu kemarahan rakyat terhadap isu kos sara hidup dan gaya hidup mewah anggota DPR ketika ramai orang terpaksa bergelut untuk hidup.

Aksi salah seorang penunjuk perasaan yang sempat menyapu semula gincu ketika sedang berhimpun. Foto Agensi
Aksi salah seorang penunjuk perasaan yang sempat menyapu semula gincu ketika sedang berhimpun. Foto Agensi

Ketika tunjuk perasaan 'merah jambu' itu, demonstrasi daripada Aliansi Perempuan Indonesia (API) menjelaskan penyapu lidi tersebut menjadi simbol 'bersih-bersih' iaitu menyapu bersih seluruh penjahat demokrasi dan segala bentuk kekerasan.

Mereka turut membawa plakad tertera 'laksanakan pembaharuan pasukan polis'.

"Aksi demonstrasi bukan satu jenayah sebaliknya ia merupakan hak demokrasi yang dimiliki setiap rakyat," kata salah seorang peserta protes, Mutiara Ika.

API turut mempersoalkan jurang besar yang wujud antara jumlah pendapatan rakyat dengan elit politik.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap mereka mendakwa rata-rata gaji diterima individu masih di bawah upah minimum regional (UMR) terutamanya golongan wanita.

"Gaji anggota DPR pula ialah 32 kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan rakyat biasa dan ia belum termasuk elaun tambahan untuk mereka.

"Bagaimana perbezaannya sangat jauh. Kami mendesak segera hentikan tindakan membazirkan wang rakyat untuk kepentingan peribadi," kata jurucakapnya.

Gesa siasatan telus

Ketika gelombang demonstrasi yang membawa kepada 'amukan' meraih perhatian banyak pihak, pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut siasatan telus dan menyeluruh terhadap dakwaan berlaku pelanggaran serius melibatkan anggota polis.

"Pemerintah perlu segera memenuhi tuntutan rakyat mereka sebelum lebih ramai nyawa terkorban," kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid.

Data dikeluarkan Yayasan Bantuan Guaman di Jakarta mendapati sekurang-kurangnya 10 kematian direkodkan ketika siri protes pada akhir bulan lalu dan sebahagiannya disebabkan tindakan kekerasan berlebihan polis manakala kira-kira 1,042 mangsa cedera terpaksa dikejarkan ke hospital.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional, Anis Hidayah berpendapat keadaan semasa amat membimbangkan terutamanya disebabkan tindakan keganasan pihak berkuasa terhadap demonstran.

Kumpulan itu berarak menuju ke bangunan DPR di ibu kota Jakarta. Foto Agensi
Kumpulan itu berarak menuju ke bangunan DPR di ibu kota Jakarta. Foto Agensi

"Ia berpunca daripada ruang dialog yang terhad. Apabila orang ramai mahu meluahkan masalah dan kesulitan mereka, ruang itu nampaknya wujud tetapi tidak mudah diakses," jelasnya lagi. - Agensi

Info:

>APi ialah sebuah kumpulan politik terdiri daripada 90 pertubuhan dan gerakan serta pelbagai kumpulan sivil termasuk kesatuan buruh, kumpulan hak asasi manusia dan komuniti Orang Asli.

>Gerakan wanita itu mempunyai sejarah menentang rejim di Indonesia, memainkan peranan penting dalam gelombang protes pada masa lalu. Sama seperti demonstrasi semasa, golongan wanita menolak pemerintahan autoritarian Suharto yang membawa kepada gerakan reformasi pada 1998.

>Pemilihan warna merah jambu sebagai simbol keberanian dan sebahagian peserta protes mengenakan pakaian berwarna hijau sebagai tanda solidariti terhadap penunggang ojol, Affan Kurniawan yang terkorban pada minggu lalu.

>Warganet menggelar warna tersebut sebagai 'hijau hero' dan 'merah jambu berani'. Ramai menukar gambar profil di media sosial masing-masing dengan filter menggunakan kedua-dua warna tersebut.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!