Kisah ibu kota paling busuk

Mampukah Malaysia elak nasib sama seperti Delhi melalui RUU PSB dan projek Warisan KL? - Gambar hiasan AFP
Mampukah Malaysia elak nasib sama seperti Delhi melalui RUU PSB dan projek Warisan KL? - Gambar hiasan AFP
A
A
A

Tiada siapa yang ingin tinggal dalam persekitaran yang busuk, kotor dan tidak selamat.

Namun itulah yang berlaku kepada Delhi, India yang merupakan salah satu bandar paling kotor di dunia.

Tinggal di bandar tersebut sangat menyesakkan dada kerana tahap pencemaran udara yang amat tinggi.

Udaranya kotor kerana perbuatan membakar sisa pertanian pada setiap tahun oleh petani di daerah Punjab dan Haryana sehingga menghasilkan asap tebal yang menutup Delhi.

Selain itu, kenderaan bermotor yang tinggi menyumbang kepada pelepasan asap dan bahan pencemar.

Pembakaran sampah secara terbuka serta kilang-kilang kecil tanpa penapisan turut menyumbang kepada pencemaran udara kronik.

Delhi juga mengalami masalah pengurusan sisa pepejal yang kritikal sehingga tapak pelupusan sampah di Ghazipur, Bhalswa dan Okhla kini setinggi bangunan pencakar langit dan terus menerima ribuan tan sisa setiap hari.

Kekurangan tempat buang sampah awam dan budaya pembuangan sampah merata-rata juga menyebabkan persekitaran kelihatan kotor.

Artikel Berkaitan:

Bandar itu mempunyai seramai 30 juta penduduk dan menghadapi tekanan besar terhadap infrastruktur asas seperti perparitan, pengangkutan awam dan pengurusan sisa.

Malah wujud setinggan dan penempatan tidak formal sehingga tiada mempunyai kemudahan sanitasi asas, menjadikan kebersihan sukar dijaga.

Ini berlaku kerana penguatkuasaan lemah, walaupun banyak undang-undang telah diperkenalkan oleh pemerintah.

Persekitaran yang tidak kondusif ini menyebabkan jangka hayat purata penduduk Delhi dilaporkan boleh berkurang sehingga 11.9 tahun akibat pencemaran udara.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia mencadangkan tentang kewujudan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

PSB yang kini dalam peringkat perancangan bertujuan untuk membolehkan pembangunan semula perumahan lama dan usang di kawasan bandar.

Ia akan memberikan kuasa kepada jawatankuasa eksekutif persekutuan dan negeri untuk membangunkan semula serta memperbaharui bangunan atau tanah yang terbengkalai tanpa memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemiliknya.

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia) telah mengenal pasti 534 kawasan di Semenanjung yang berpotensi untuk pembaharuan semula bandar.

Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat tentangan hebat daripada pemimpin pembangkang kerana mereka berpendapat PSB bakal meminggirkan kaum tertentu, terutamanya golongan miskin.

Marah mereka juga tidak hadir untuk melakukan tinjauan bersama Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan bagi melihaf sendiri realiti kehidupan rakyat.

Memang ada beberapa isu penting yang perlu diberikan perhatian dan ia harus diselesaikan pada sidang dewan rakyat oleh ahli-ahli Parlimen.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah melancarkan Projek Warisan Kuala Lumpur (KL): Warisan Ibu Kota Malaysia Madani iaitu inisiatif strategik untuk mentransformasikan kawasan bersejarah yang tertumpu di Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai zon budaya dan kreatif.

Ia berpandukan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 dan membawa pendekatan pembangunan bandar yang berasaskan budaya.

Melalui pelaksanaan 10 projek perintis andalan, Warisan KL berhasrat menjadikan Kuala Lumpur sebuah kota kreatif bertaraf global yang inklusif, saling terhubung dan mencerminkan identiti Malaysia.

Harapan warga kota amat tinggi, dengan pelbagai inisiatif yang hendak dijalankan bagi memastikan Kuala Lumpur sebuah ibu kota yang indah dan menyeronokkan.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!