Bot terbalik di Pulau Perhentian: Mahkamah tunggu laporan patologi

Tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Besut pada Khamis.
Tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Besut pada Khamis.
A
A
A

BESUT – Mahkamah Majistret Besut menetapkan 1 Oktober depan bagi sebutan semula kes melibatkan pemandu bot dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian selepas dimaklumkan laporan patologi tertuduh masih belum diperoleh.

Majistret Nurliyana Md Zukri membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar memaklumkan mahkamah bahawa laporan patologi tertuduh masih dalam proses.

Sebelum ini, tertuduh, Azrie Yazid, 22, mengaku salah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis nimetazepam ke dalam badannya dihadapan hakim sama pada 3 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira jam 10.05 pagi pada 29 Jun lalu.

Tertuduh berdepan pendakwaan selepas terlibat insiden bot pelancong yang dipandunya terbalik ketika membawa 15 penumpang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar, kira-kira jam 10.30 malam pada 28 Jun.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta pengawasan mandatori, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini turut melaporkan pemandu bot berkenaan didapati positif dadah selepas kejadian serta mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut, manakala seorang lagi kanak-kanak berusia enam tahun kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!