CMI setuju laksana syor SPRM perkukuh integriti pemasangan papan iklan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan beberapa cadangan penambahbaikan tatakelola pengurusan kontrak pemasangan struktur papan iklan luar di Melaka kepada Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI).
Cadangan itu susulan insiden pada 14 Julai 2024 apabila dua papan iklan bersaiz besar tumbang di sekitar Bandar Hilir dan Bachang.
Semakan terhadap fail kertas siasatan SPRM mendedahkan terdapat kelemahan kawalan dalaman CMI berkaitan permohonan pemasangan struktur papan iklan luar oleh syarikat konsesi pengiklanan.
Kelemahan itu berpotensi membuka ruang kepada berlakunya jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.
Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie berkata, satu sesi khidmat nasihat telah diadakan bersama Pengurus Besar CMI, Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh di Kompleks CMI minggu lalu.

Adi berkata, antara cadangan utama ialah mewujudkan garis panduan komprehensif berhubung mekanisme tatakelola pemasangan papan iklan luar di negeri itu.
“Cadangan lain termasuk mewujudkan satu Jawatankuasa Empat Penjuru bagi membincangkan kaedah terbaik untuk permohonan dan kelulusan lesen atau permit pemasangan papan iklan yang lebih telus, bebas serta profesional.
“Langkah ini penting bagi memperkukuh integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan pengiklanan di Melaka,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Azlan berkata, pihaknya bersetuju dengan syor penambahbaikan yang telah ditandatangani bersama SPRM Melaka dan kini sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, CMI juga akan menubuhkan Jawatankuasa Empat Penjuru membabitkan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
“Ini bagi membincangkan kaedah terbaik dalam permohonan dan kelulusan lesen serta permit pemasangan papan iklan di negeri ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
