DNeX peroleh lanjutan kontrak Jendela Tunggal Nasional

Dagang Net, anak syarikat DNeX, memperoleh lanjutan kontrak kerajaan setahun bagi mengendalikan Jendela Tunggal Nasional (NSW).
Dagang Net, anak syarikat DNeX, memperoleh lanjutan kontrak kerajaan setahun bagi mengendalikan Jendela Tunggal Nasional (NSW).
A
A
A

ANAK syarikat Dagang NeXchange Berhad (DNeX), Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net) memperoleh lanjutan kontrak daripada kerajaan bagi inisiatif Jendela Tunggal Nasional (NSW) untuk pemudah cara perdagangan.

Lanjutan kontrak selama satu tahun bermula 1 September 2025 dengan pilihan untuk lanjutan untuk satu tahun lagi, tertakluk kepada semakan prestasi, keperluan semasa dan persetujuan bersama.

Di bawah kontrak yang diperbaharui, DNeX akan terus menyediakan enam e-perkhidmatan utama di bawah NSW iaitu eDeclare, eManifest, ePCO, ePermit, ePermitSTA dan ePayment.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kepercayaan dan kerjasama yang berterusan.

“Lanjutan kontrak signifikan ini adalah bukti kukuh terhadap kekuatan dan keupayaan kumpulan dalam menyampaikan penyelesaian fasilitasi perdagangan yang inovatif serta efisien.

“Kami kekal teguh dalam komitmen untuk melebihi jangkaan pelanggan dengan menyediakan ePerkhidmatan yang memperkasakan perniagaan untuk mengoptimumkan operasi dan memacu pertumbuhan.

“Dengan lebih 15 tahun pengalaman terbukti dalam membangunkan dan menyelenggara sistem kritikal ini, syarikat sekali lagi menunjukkan kemampuan dan kini kami bersedia untuk memanfaatkan rekod prestasi ini bagi mengembangkan penawaran ke negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Dagang Net menjadi pengendali NSW untuk pemudah cara perdagangan sejak penubuhannya pada tahun 2009, memainkan peranan penting dalam memperkemas proses perdagangan Malaysia.

Ia turut menyumbang secara signifikan kepada hasil Kumpulan DNeX, mewakili kira-kira lapan peratus daripada jumlah keseluruhan hasil kumpulan. Untuk konteks, hasil diaudit Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berjumlah RM1.17 bilion.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Faizal Sham berkata, syarikat sentiasa menambah baik penyelesaian dengan ciri tambahan, modul dan perkhidmatan nilai tambah bagi memudahkan lagi aktiviti eksport dan import di Malaysia.

“ePerkhidmatan kami dibangunkan, diurus dan disenggara oleh pasukan bakat tempatan yang berdedikasi, sentiasa mencapai tahap perkhidmatan serta perjanjian ketersediaan yang diperlukan.

“Kami juga berbangga menguruskan ASEAN Single Window bagi pihak Malaysia,” katanya.

Beliau turut menekankan portfolio syarikat yang semakin berkembang, melangkaui NSW untuk pemudah cara perdagangan termasuk pembangunan, pelaksanaan dan penyelenggaraan Fasa 1 Malaysia Maritime Single Window (MMSW).

MMSW ialah platform pusat direka bentuk untuk memudahkan aliran maklumat, berfungsi sebagai portal sehenti dengan keupayaan log masuk tunggal dan penyerahan tunggal bagi urus niaga perkhidmatan pelabuhan dan peraturan maritim di peringkat nasional.

Menurutnya lagi, pencapaian terbaharu ini mengukuhkan kedudukan DNeX IT sebagai rakan teknologi dipercayai kerajaan dengan rekod prestasi dalam menyampaikan infrastruktur serta platform IT kritikal negara.

“Dengan tenaga kerja teknikal yang mantap seramai 200 profesional disokong 20 pengaturcara kecerdasan buatan (AI), DNeX IT berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan momentum ini bagi pengembangan global.

“Kumpulan merancang memperluas jejak antarabangsa dan meneroka bidang teknologi baharu, termasuk SAP S/4HANA, AI, Keselamatan Siber dan aplikasi mudah alih,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!