Bantuan SARA: Penerima lega, sistem pembelian kini lebih lancar

KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lebih baik pada hari keempat apabila sistem pembelian di pasar raya terpilih dilihat semakin lancar berbanding sebelum ini.
Seorang penerima, Kamar Razaman Mohamad, 53, dari Kubang Ikan di sini berkata, beliau menarik nafas lega apabila berjaya menggunakan bantuan tersebut bagi membeli keperluan harian tanpa berdepan banyak masalah.
“Saya dapat beli beras 10 kilogram dan beberapa barangan asas lain. Dengan anak enam orang, bantuan ini memang sangat membantu.
“Saya kira jumlah keseluruhan untuk saya sekeluarga dapat dalam RM800 termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM200 yang diterima sebelum ini.
“Terima kasih kerajaan kerana dengan pemberian ini ia dapat digunakan untuk membeli keperluan asas dan sedikit sebanyak membantu meringankan beban,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, Rabu.
Sementara itu, menurut seorang juruwang pasar raya berkenaan, pada hari pertama pelaksanaan, sistem agak terganggu apabila proses imbasan dan cetakan resit tidak dapat dilakukan sehingga menyebabkan ramai penerima terpaksa menunggu lama.
“Semalam (Selasa) sistem boleh kata 50-50, ada masa boleh guna ada masa tidak. Hari ini (Rabu), nampaknya sistem lebih baik, saya lihat stabil sekitar 80 peratus. Mungkin sebab tidak ramai yang serbu,” ujarnya.
Menurutnya, jumlah kehadiran penerima agak ramai pada hari pertama (Ahad lalu) sehingga berlaku kesesakan.
“Hari pertama memang jem sebab semua orang datang sekali gus pagi dan petang. Hari kedua sudah nampak kurang serbu, sistem pun ok sikit walaupun ada masa kejap boleh, kejap tidak.
“Sekarang sudah lebih baik, boleh keluar resit dan pembelian pun lancar. Kami bimbang juga kalau diserbu ramai-ramai dalam satu-satu masa, mungkin berlaku lagi masalah pada sistem,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata penerima memanfaatkan bantuan tersebut untuk membeli barangan asas seperti beras, telur, susu dan lampin pakai buang.
Pelaksanaan SARA yang mula disalurkan Ahad lalu dijangka memberi manfaat kepada golongan terkesan, terutama kategori miskin dan miskin tegar, bagi membeli barangan keperluan harian sekali gus meringankan beban kewangan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
