'Beri peluang golongan B40 beli keperluan dahulu'

SHAH ALAM - Orang ramai yang juga penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinasihat tidak tergesa-gesa menebus bantuan itu kerana tempoh penebusan bernilai RM100 berlanjutan sehingga 31 Disember 2025.
Penasihat Persatuan Peruncitan Bumiputera (BRO) yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, tempoh penebusan masih panjang, justeru keutamaan wajar diberikan kepada golongan B40.
“Kita ada masa empat bulan untuk tebus. Jadi, beri peluang kepada golongan B40 yang benar-benar memerlukan untuk membeli keperluan dahulu.
“Masalah berpunca daripada jumlah pengguna yang tinggi dan kekangan sistem untuk mengendalikan 22 juta penerima serentak. Kerajaan sudah beri masa panjang. Harap semua bersabar, elakkan waktu puncak.
“Boleh cuba tebus awal pagi atau malam. Pihak pengendali seperti Microsoft dan Geofreasy sedang bekerja keras untuk selesaikan isu ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan sistem mengalami transaksi mendadak berikutan sambutan tinggi daripada penerima SARA.
Situasi itu menyebabkan sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi ketara di beberapa lokasi.
Kementerian itu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif tersebut agar berjalan lancar.
Tambah Ameer, gangguan pada sistem penebusan bermula sejak 31 Ogos iaitu hari pertama pelaksanaan, apabila sistem mula mengalami kelewatan selepas jam 10 pagi.
“Situasi menjadi lebih serius pada hari kedua berikutan lonjakan pengguna yang mahu menebus bantuan serentak. Hari pertama sistem agak perlahan selepas jam 10 pagi. Hari kedua pula lebih teruk kerana ramai nak tebus pada masa yang sama.
“Pihak pengendali sistem telah mengeluarkan kenyataan rasmi dan sedang mengambil langkah pemulihan. Antara cadangan yang dilaksanakan termasuk mengurangkan penggunaan terminal di setiap cawangan untuk mengurangkan beban sistem,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


