RM10 juta baik pulih feri ikonik jadi Muzium Feri Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Sebanyak RM10 juta telah dilaburkan bagi kerja baik pulih dan restorasi feri ikonik Pulau Pinang sebelum dijadikan sebagai Muzium Feri Pulau Pinang yang bakal dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 16 September depan.
Pembukaan rasmi itu menjadi lebih bermakna apabila ia diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia.
Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang, Abdul Hadi Abu Osman berkata, kerja renovasi bermula sejak awal 2022 selepas pihaknya memenangi tender yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) pada tahun 2021.
Beliau berkata, pada mulanya, kos restorasi dianggarkan sekitar RM7 juta, namun insiden feri tenggelam akibat masalah teknikal menyebabkan kos meningkat sehingga RM10 juta.
“Bagaimanapun, kerja baik pulih dan restorasi berjaya disiapkan dan muzium ini kini sedia menerima pengunjung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan khas media di sini, pada Jumaat.
Abdul Hadi berkata, muzium ini merupakan muzium feri penumpang pertama di dunia yang memfokuskan sejarah feri Pulau Pinang sejak 1893 hingga kini.
Berkongsi mengenai tarikan yang terdapat di Muzium Feri Pulau Pinang, beliau berkata, antara keistimewaan ialah pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat ruang enjin (engine room) yang sebelum ini tidak pernah dibuka kepada orang awam.

Selain itu, katanya, pengunjung juga boleh melihat sendiri dek navigasi kapten yang membolehkan mereka merasai pengalaman sebenar suasana mengemudi feri.
“Jika dahulu penumpang hanya menggunakan dua tingkat, kini muzium ini dibuka sehingga empat tingkat dengan keluasan lebih 6,000 kaki persegi.
“Hampir kesemua bahan atau artifak yang dipamerkan adalah asli, dikumpul daripada feri Pulau Pinang dan juga feri lama lain yang telah dilupuskan atau tenggelam,” katanya.
Beliau berkata, sistem keselamatan feri turut dipertingkatkan dengan pemasangan konkrit marin, sensor amaran awal serta pam automatik bagi mengelakkan risiko kebocoran dan memastikan keselamatan pengunjung.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Muzium Feri Pulau Pinang beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 10 malam dengan kapasiti 150 pengunjung setiap jam, bersamaan maksimum 2,000 pengunjung sehari.
Harga tiket ditetapkan pada RM29 untuk dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Bagi pelancong asing, tiket berharga RM39 untuk dewasa dan RM19 bagi kanak-kanak serta OKU.
Selain itu, tiket VIP turut disediakan pada harga RM59 yang membolehkan pengunjung masuk tanpa perlu menunggu slot.
“Buat masa ini, muzium sudah dibuka untuk fasa percubaan sejak 30 Ogos lalu dengan sambutan memberangsangkan.
“Kami menyasarkan sekitar 2,000 pengunjung sehari selepas pembukaan rasmi,” jelasnya.
Beliau berkata, kewujudan muzium feri ini bukan sahaja mengimbau nostalgia masyarakat Pulau Pinang terhadap pengangkutan ikonik itu, malah diharap menjadi tarikan pelancongan baharu yang memberi nilai tambah kepada negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

