JKM jalankan siasatan dalaman terhadap 18 kanak-kanak diselamatkan

GEORGE TOWN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes 18 kanak-kanak yang diselamatkan di sebuah premis pada 21 Julai lalu bagi melengkapkan laporan pelindung sebelum dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
Pengarahnya, Rozita Ibrahim berkata, setakat ini seramai 20 individu telah diselamatkan, namun seorang wanita bersama bayinya telah dibebaskan kerana mempunyai dokumen sah dan kini tinggal di lokasi yang tidak boleh didedahkan.
“Sekarang yang masih berada di bawah jagaan JKM adalah seramai 18 orang, iaitu 12 kanak-kanak tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, manakala enam lagi mempunyai ibu bapa tetapi memerlukan penelitian lanjut,” katanya.
Beliau ditemui selepas hadir di Majlis Perasmian Projek Akuaponik Pintar Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Teluk Bahang di sini pada Rabu.
Menurut Rozita, JKM sebelum ini mengambil Perintah Jagaan Sementara sehingga 22 Ogos lalu dan kini memperoleh Perintah Jagaan Interim selama dua bulan lagi hingga 22 Oktober bagi membolehkan laporan lengkap disediakan.
“Laporan ini melibatkan latar belakang keluarga, dokumen pengenalan diri dan pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Buat masa ini, JPN Pulau Pinang sudah membuat pengesahan biometrik.
“Kita juga dapat bantuan daripada Unit Forensik Pergigian Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Perak untuk pengecaman gigi bagi menentukan umur sebenar kanak-kanak itu,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati ada kanak-kanak yang mempunyai dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan atau sijil lahir, namun kesahihannya masih dipersoalkan kerana kemungkinan ibu bapa mereka berkahwin di luar negara seperti Indonesia, Thailand atau Vietnam.
“Isunya, JPN mungkin boleh sahkan bahawa dokumen itu wujud, tetapi persoalan seterusnya ialah adakah individu tersebut benar-benar orang yang sama.
“Kita juga perlu melihat salasilah keluarga (family tree) yang dikeluarkan JPN dan setakat ini ada perkara yang masih tidak jelas,” katanya.
Tambahnya, terdapat ibu bapa yang tampil menuntut anak-anak tersebut, namun JKM tidak dapat menyerahkan lagi kerana kesahihan status ibu bapa kandung masih belum dapat dipastikan.
"Ada ibu bapa yang mula menuntut anak-anak mereka tetapi kita tidak benarkan lagi kerana kita tidak tahu sama ada itu adalah Ibu bapa kandung yang sebenar atau pun tidak.
"Ini kerana, mereka sudah lama tidak berjumpa dengan ibu bapa mereka. Jadi, kita masih belum tahu siapa sebenarnya ibu bapa kandung mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan, buat masa ini semua kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan sihat dan mengikuti pelbagai program yang diatur di pusat jagaan.
“Selepas Oktober, kita akan lihat aspek pendidikan, termasuk bagaimana mereka boleh bersekolah.
"Yang penting sekarang ialah kita perlu selaraskan semula dokumen pengenalan diri mereka mengikut perundangan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 20 kanak-kanak termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 hari berjaya diselamatkan dalam satu operasi khas yang dijalankan JKM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dua premis sekitar Seberang Perai Tengah pada 21 Julai lalu.
Dua premis berkenaan melibatkan sebuah gudang di kilang dan sebuah rumah yang dijadikan pusat pembelajaran tidak berdaftar.
Kesemua kanak-kanak berusia antara 15 hari hingga 16 tahun itu terdiri daripada 10 kanak-kanak lelaki dan 10 perempuan.
Hasil siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka tidak mempunyai penjaga sah serta dipercayai tidak menerima keperluan asas yang mencukupi seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang selamat.
Mereka telah dikategorikan sebagai Kanak-Kanak Yang Memerlukan Pemeliharaan dan Pelindungan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Daripada jumlah tersebut, 12 kanak-kanak tidak mempunyai dokumen sijil kelahiran, enam mempunyai dokumen pengenalan dan ada ahli keluarga serta dua telah diserahkan kepada ahli keluarga terdekat.
Tiada kesan penderaan pada tubuh kanak-kanak yang berjaya diselamatkan cuma dua antara mereka dilaporkan tidak sihat.
Ketika serbuan terdapat lima individu dipercayai penjaga di gudang berkenaan dan mereka telah disiasat polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

