Unifi tawar insentif galak rakyat Malaysia berada di rumah

Unifi menawarkan akses secara percuma untuk kesemua saluran di unifi TV.
Unifi menawarkan akses secara percuma untuk kesemua saluran di unifi TV.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unifi mewujudkan beberapa insentif untuk pelanggannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi menggalakkan mereka berada di dalam rumah.

Ketua Pegawai Komersial TM, Anand Vijayan berkata, tawaran-tawaran istimewa akan diberikan supaya pelanggan dapat memanfaatkan sepenuhnya masa mereka.

"Unifi menawarkan akses secara percuma untuk kesemua saluran di unifi TV, termasuk saluran-saluran premiumnya bagi memenuhi kehendak tontonan yang pelbagai daripada semua ahli keluarga," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, akses percuma itu turut boleh dinikmati menerusi akaun unifi playTV pengguna di mana ia boleh diakses oleh sehingga lima pengguna bagi menonton saluran dan kandungan digital berbeza pada masa yang sama.

“Langkah membuka kesemua saluran dan kandungan premium kami merupakan antara insentif kami untuk menggalakkan orang ramai kekal berada di rumah.

"Kami juga akan membantu mengurangkan kerisauan yang pelanggan-pelanggan kami hadapi sepanjang tempoh ini. Ini termasuklah keperluan untuk mempunyai data yang lebih tinggi dan sokongan daripada pihak teknikal," katanya.

Anand Vijayan
Anand Vijayan

Anand berkata, galakan supaya orang ramai terus berada di rumah akan dapat membantu mengurangkan lengkungan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun pengguna internet kediaman akan menikmati data tanpa had, perkara yang sama mungkin tidak akan dirasai pengguna mudah alih lain.

Menurutnya, untuk membantu memastikan pelanggan kekal berhubung tanpa perlu berasa bimbang, unifi kini memberikan lebih fleksibiliti kepada pelan-pelan data mereka.

"Bagi pelanggan pasca bayar mudah alih tanpa had sedia ada, unifi akan memberikan pas hotspot LTE 999GB secara percuma, peningkatan mendadak daripada pas hotspot LTE 10GB sedia ada mereka.

"Peningkatan had ini akan membolehkan mereka untuk berkongsi internet mudah alih dengan beberapa peranti lain di rumah, termasuklah pada TV Pintar dan komputer riba," katanya.

Pada masa sama katanya, pelanggan prabayar #BEBAS akan diberikan pas data tujuh hari tanpa had supaya mereka tidak perlu bimbang untuk sentiasa menambah nilai kredit apabila memerlukan lebih data.

Beliau berharap peningkatan data yang diberikan akan membantu pengguna mudah alih dalam situasi masa kini sebaik mungkin.

Katanya, pelanggan akan menerima pas hotspot LTE 999GB PERCUMA itu dalam masa dua hari berikutnya dan mereka boleh membuat semakan di akaun masing-masing secara layan diri di portal unifi atau di aplikasi myunifi sementara pelanggan SIM prabayar #BEBAS pula boleh menuntut pas tujuh hari tanpa had melalui aplikasi #BEBAS.

"Unifi ingin menyarankan kepada pelanggan yang memerlukan bantuan sokongan teknikal atau bantuan mengenai akaun mereka untuk menggunakan sepenuhnya saluran khidmat pelanggan digital untuk mengurangkan interaksi secara fizikal dan mengurangkan sebarang risiko.

"Saluran-saluran bantuan ini termasuklah portal khidmat pelanggan di laman web unifi, aplikasi myunifi dan platform media sosial kami di Facebook @weareunifi dan Twitter @helpmeunifi, di mana pelanggan boleh menguruskan akaun, membuat troubleshoot mudah malah mereka boleh berinteraksi bersama perunding perkhidmatan unifi yang sentiasa bersedia untuk membantu," katanya.

Anand berkata, unifi akan terus memantau sebarang perkembangan situasi semasa dan akan mengadaptasi perkhidmatannya bagi membantu pelanggan pada masa-masa yang diperlukan.

Untuk maklumat lanjut, pertanyaan, khidmat pelanggan, pembelian dan sebarang bantuan sokongan, sila layari www.unifi.com.my.