Orang ramai pilih berada di rumah elak dehidrasi

Cuaca terik dijangka berlangsung sepanjang Mei hingga September tahun ini. (Gambar kecil: Muhammad Khalilullah)
Cuaca terik dijangka berlangsung sepanjang Mei hingga September tahun ini. (Gambar kecil: Muhammad Khalilullah)
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat mengambil pendekatan mengurangkan aktiviti riadah di luar susulan monsun barat daya yang menyebabkan cuaca terik dijangka berlangsung sepanjang Mei hingga September tahun ini.

Guru di sebuah pusat kebajikan di Klang, Muhammad Khalilullah Ghazali, 27, berkata, dia memastikan keluarganya terutama anak-anak kecil untuk kerap minum air masak bagi mengelakkan dehidrasi dan demam.

“Kalau melibatkan aktiviti luar pada waktu tengah hari dan petang, memang kita akan kurangkan.

“Sebelum ini pun, anak-anak ada demam sebab cuaca panas ini, jadi memang kita tak benarkan bermain di luar dan galakkan mereka banyak minum air masak.

“Untuk anak-anak kecil ini, memang saya bimbang dari segi kesihatan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, seorang guru, Suhazliara Ali, 27, berkata, cuaca panas di negara ini menyebabkan dia lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga kesihatan diri dengan memastikan pengambilan air yang berpatutan untuk tubuhnya.

“Saya akan kurangkan aktiviti luar rumah untuk mengelakkan masalah seperti keradangan kulit, dehidrasi dan sebagainya.

“Selain itu, saya akan pastikan diri sendiri mengambil air minuman yang mencukupi mengikut keperluan tubuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelajar, Muhammad Shafiq Mohd Sanusi, 19, berkata, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding berada di luar kerana fenomena cuaca tersebut.

Ujarnya, dia juga memilih pakaian-pakaian yang lebih cerah, selesa dan sesuai untuk cuaca panas sekiranya perlu terlibat dengan aktiviti-aktiviti luar.

“Biasa kalau cuaca panas, saya akan duduk di rumah sahaja tetapi kalau kena keluar juga, saya akan pakai pakaian yang warna cerah dan kurang ketat supaya tak panas.

“Sudah tentu saya juga perbanyakan minum air supaya badan kita tak kering sangat,” ulasnya.