Seksa rumah penuh lumpur raya ketiga

Keadaan salah sebuah rumah di Taman Chepor Sentosa yang dipenuhi lumpur akibat banjir kilat pada Isnin lalu.
Keadaan salah sebuah rumah di Taman Chepor Sentosa yang dipenuhi lumpur akibat banjir kilat pada Isnin lalu.
A
A
A

IPOH - Sebahagian penduduk Taman Chepor Sentosa di sini tidak menyangka rumah yang ditinggalkan beberapa hari sempena Hari Raya Aidilfitri dipenuhi lumpur akibat banjir kilat pada Isnin.

Kejadian tersebut menyebabkan penduduk terlibat mengalami kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan peralatan elektrik dan perabot yang tidak sempat diselamatkan.

Seorang penduduk, Muhammad Faiz Azman, 34, berkata, kejadian air melimpah ke kawasan rumahnya memang pernah berlaku sebelum ini tetapi tidak sampai masuk ke dalam rumah.

Namun katanya, kejadian pada 24 April lalu paling buruk pernah dihadapi penduduk di kawasan itu apabila setiap ruang di dalam rumah dipenuhi lumpur yang turut mengakibatkan beberapa peralatan elektrik, perabot dan perkakasan lain rosak.

Muhammad Faiz menunjukkan paras lumpur yang memenuhi ruang rumahnya dalam kejadian banjir kilat pada Isnin lalu.
Muhammad Faiz menunjukkan paras lumpur yang memenuhi ruang rumahnya dalam kejadian banjir kilat pada Isnin lalu.

"Apabila saya buka sahaja pintu rumah memang penuh dengan lumpur. Pintu-pintu bilik semua dah rosak sebab lama terendam. Kalau kira dalam RM20,000 juga kerugian akibat kejadian itu. Tembok penghadang yang dibina di belakang rumah juga turut runtuh.

"Ini paling buruk yang pernah saya alami sejak tinggal di sini tiga tahun lalu. Keadaan ini amat berbahaya dan tidak boleh berterusan begini. Saya minta pihak-pihak berkaitan ambil serius perkara ini sebab aduan dan laporan polis sudah dibuat untuk tindakan," katanya yang juga seorang guru ketika ditemui di rumahnya di Taman Chepor Sentosa di sini pada Rabu.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Sopuan Abdullah, 64, berkata, masalah tersebut sudah lama berlaku dan sekurang-kurangnya sebulan sekali akan berlaku.

Katanya, banjir tersebut bukan sahaja membawa air tetapi lumpur yang turut memenuhi longkang di taman perumahan tersebut.

Dia yang juga seorang pesara berkata, pihak-pihak berkaitan perlu bertindak tegas terhadap individu mahu pun kumpulan yang menjadi punca kepada masalah banjir kilat itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Chepor Sentosa, Farriz Izzwan Khairulanuar berkata, masalah yang melanda penduduk itu berlaku sejak tahun 2017.

Katanya, lebih kurang 15 rumah terjejas akibat banjir kilat di taman perumahan tersebut dan sekurang-kurangnya tujuh rumah yang paling teruk.

"Kita sudah panjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan malah pada minggu ini pihak persatuan akan mengumpulkan tandatangan dan memorandum untuk diserahkan kepada semua.

"Penduduk amat berharap agar masalah diselesaikan segera memandangkan ia bukan pertama kali berlaku. Kita tak mahu kejadian tidak diingini berlaku disebabkan banjir kilat ini," katanya.

Beliau menjelaskan punca utama masalah tersebut dipercayai disebabkan kegiatan pertanian di kawasan berhampiran perumahan tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah memohon tindakan segera daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB) bagi membantu dalam operasi pembersihan.

"Tindakan terkini pihak MBI dan PEISB telah menjalankan operasi pembersihan scupper drain dan juga membina ban sementara bagi mengurangkan saliran air masuk ke kawasan perumahan.

"Saya akan usahakan bersama beberapa pihak yang berkenaan bagi mencari solusi terbaik untuk atasinya agar keselesaan penduduk dapat dijaga dengan baik," katanya.