Bayi digigit tikus di hospital kerajaan di India

INDORE - [DIKEMAS KINI] Dua bayi dilaporkan digigit tikus di Hospital Kerajaan Maharaja Yashwantrao (MYH), Indore, Madhya Pradesh dalam tempoh 48 jam lalu, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Menurut laporan agensi berita PTI, insiden mengejutkan itu berlaku di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) salah sebuah hospital kerajaan terbesar di negeri berkenaan.
Pengarah hospital, Dr Ashok Yadav mengesahkan kejadian tersebut.
“Dalam tempoh 48 jam, seekor tikus menggigit jari seorang bayi di NICU, manakala seorang lagi bayi mengalami gigitan pada kepala dan bahu,” katanya pada Selasa.
Beliau menjelaskan kedua-dua bayi terbabit mempunyai masalah kecacatan sejak lahir.
Salah seorang daripada mereka ditemui terbiar di daerah Khargone sebelum dibawa ke MYH untuk rawatan. Susulan itu, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk bagi menyiasat kejadian berkenaan.
Bagi mencegah insiden sama berulang, pihak hospital mengarahkan pemantauan 24 jam dijalankan, selain memasang jaring besi pada tingkap.
Kakitangan juga diarahkan memastikan tiada makanan luar dibawa masuk ke wad kerana sisa makanan dipercayai menjadi punca tikus tertarik ke kawasan hospital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kongres merangkap Ketua Pembangkang Madhya Pradesh, Umang Singhar, turut berkongsi video rakaman seekor tikus berkeliaran di dalam NICU dan menuduh kerajaan negeri pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) sebagai cuai.
Dalam kenyataannya, beliau menyifatkan kejadian itu sebagai “pembunuhan beramai-ramai.”
“Kerajaan, tolonglah kasihan pada bayi-bayi ini! Lihatlah keadaan hospital MY Indore, tikus menggigit bayi dalam NICU dan kerajaan BJP gagal melakukan kawalan perosak sejak lima tahun! Hospital sepatutnya menyelamatkan nyawa, tetapi kini menjadi sarang maut,” katanya dalam hantaran di platform X.
Jurucakap Kongres negeri, Neelabh Shukla pula menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.
“Kes tikus menggigit dua bayi ini bukan sekadar kecuaian pentadbiran, tetapi tragedi yang mencabar nilai kemanusiaan.
“Ia telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan ibu bapa. Jika kerajaan negeri gagal menjamin keselamatan bayi di hospital, bagaimana rakyat boleh mengharapkan keselamatan awam terjaga?” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

